U Mobile lancar percubaan teknologi 5G
U Mobile melancarkan percubaan langsung 'Fast Forward with U Mobile 5G' di Berjaya Times Square, membolehkan pelanggan merasai teknologi rangkaian 5G di pusat beli-belah itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Heang Tuck berkata walaupun 5G belum dilaksanakan secara komersial, SIM U Mobile semuanya sedia 5G, membolehkan pelanggan merasai teknologi itu mulai hari ini.
"U Mobile adalah mengenai merealisasikan potensi pelanggan kami yang tidak terhad. Kami sentiasa membuat pembaharuan dan menjalankan pelbagai ujian untuk mencari cara baharu untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kami.
"Fast Forward with U Mobile 5G adalah antara inisiatif untuk kami ke arah masa depan untuk memberi peluang kepada pelanggan kami mempunyai pengalaman dunia sebenar," katanya kepada pemberita pada pelancaran percubaan langsung itu di sini, hari ini.
Beliau berkata percubaan itu turut memberi peluang kepada U Mobile untuk meraih pembelajaran utama bagi memastikan pelaksanaan yang lebih baik apabila 5G dilancarkan secara komersial di Malaysia.
"U Mobile telah mengembangkan dan meningkatkan rangkaian kami secara agresif dalam beberapa tahun ini dan setakat ini, kami mempunyai lebih 7,000 tapak 4G.
"Dari 2017 hingga 2020, kami telah melabur lebih RM5 bilion untuk meningkatkan bukan hanya rangkaian kami, tetapi pengalaman pelanggan kami secara keseluruhan," katanya.
Sebagai permulaan, katanya pelanggan U Mobile akan dapat merasai rangkaian 5G menggunakan telefon pintar yang terpilih dan syarikat telekomunikasi terus bekerjasama dengan pengeluar telefon mudah alih supaya lebih banyak model dengan keupayaan 5G boleh didapati untuk pelanggan U Mobile tidak lama lagi.
Selain daripada percubaan langsung ini, Wong berkata sejak 12 bulan lalu, syarikat telekomunikasi itu turut menjalankan beberapa kes penggunaan sebagai sebahagian daripada projek demonstrasi 5G secara vertikal seperti penjagaan kesihatan, permainan maya dan pelancongan maya.
Bagi penjagaan kesihatan, katanya U Mobile telah mengadakan demonstrasi rundingan jarak jauh melalui kerjasama dengan MEDCOM dan DoctorOnCall, selain syarikat telekomunikasi itu bekerjasama dengan HTC Vive untuk melakukan demonstrasi permainan maya dan pelancongan maya.
U Mobile turut menceburi kes penggunaan untuk sektor pembuatan dengan menguji penyelesaian untuk pengecaman wajah Smart AI dan pengesanan haba di Hotayi Electronic di Pulau Pinang.
Sumber : BERNAMA