Top Ad 728x90

,

Agong mendapati tiada keperluan isytihar darurat

Keputusan Agong mengenai darurat

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Beliau berkata, Seri Paduka berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Permohonan berkenaan, katanya, ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

"Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

"Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fadil memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Petang Jumaat lalu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz bagi membentangkan cadangan hasil Mesyuarat Khas Kabinet pada sebelah paginya.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Seri Paduka berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan kepada baginda oleh Perdana Menteri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada baginda.

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Prorog adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan terdahulu.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90