Top Ad 728x90

,

Ekuinas jual pegangan dalam Coolblog

ekuinas jual coolblog

 

Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melepaskan keseluruhan kepentingan ekuitinya sebanyak 60 peratus dalam jenama minuman tempatan, Coolblog Apps Sdn Bhd (Coolblog) kepada Archipelago Capital Partners (Archipelago) pada nilai RM75 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, berkata Archipelago adalah firma pelaburan ekuiti persendirian yang menjalankan pelaburan di Asia Tenggara.

Beliau berkata, pelaburan Ekuinas dalam Coolblog sudah mencapai tempoh matang untuk dilupuskan dan kumpulan sudah melaksanakan pelan penciptaan nilai buat syarikat berkenaan.

"Ini juga sebahagian daripada strategi pelaburan berhemat untuk menjaminkan Kadar Pulangan Dalaman (IRR) yang positif, sejajar dengan langkah kami untuk melupuskan aset di bawah Ekuinas Direct (Tranche II) Fund.

"Berdasarkan rekod pencapaian cemerlang mereka dalam industri barangan pengguna laris (FMCG), pengalaman dalam ruang niaga Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dan juga kepakaran dalaman dalam sektor makanan dan minuman (F&B), Archipelago telah dipilih sebagai rakan pelaburan yang tepat untuk memajukan dan mempercepatkan prestasi Coolblog," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Yasir berkata, pelupusan itu menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) 6.4 peratus yang bersamaan 1.4 kali modal dilaburkan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaburan, Ekuinas telah berjaya menyempurnakan pelan penciptaan nilai dengan fokus utama memperkemaskan proses operasi dan sistem, pengembangan outlet korporat dan penembusan ke segmen pasaran massa baharu, serta peningkatan dalam penawaran produk dan strategi pemasarannya.

Katanya, transaksi itu telah dilaksanakan dan disempurnakan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan, justeru menunjukkan ketahanan dan daya maju perniagaan Coolblog.

Coolblog adalah jenama pencuci mulut dan minuman dengan lebih 270 cawangan di Malaysia, menawarkan lebih 25 perisa dan 300 produk berbeza.

Ekuinas memulakan pelaburan di Coolblog pada 2014 dan perniagaan ini telah menunjukkan trakjetori pertumbuhan positif disokong dengan rekod pencapaian yang terbukti.

Hasil jualan meningkat daripada RM34 juta kepada RM46.9 juta dari 2017 hingga 2019 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 17.4 peratus.

"Ekuinas telah bekerjasama dengan Coolblog dalam membantu usahawan Malaysia dan Bumiputera menjadi pemilik perniagaan dan mencipta pendapatan melalui model francais Coolblog.

"Sehingga Jun 2020, Coolblog mempunyai 195 pemegang francais, 109 daripadanya adalah milik Bumiputera. Saiz dan kemampuan konsep kios bawa pulang beserta model francaisnya telah membolehkan Coolblog meningkatkan tahap kehadiran perniagaan dan capaian mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Archipelago, Jovasky Pang, berkata pihaknya melihat potensi besar dalam Coolblog, menunjukkan pertumbuhan yang kukuh sebagai perniagaan daripada segi penawaran dan keuntungan.

Beliau berkata, Archipelago telah mencari titik masuk yang sesuai untuk menguatkan portfolio pengguna serta makanan dan minuman di rantau ini.

"Peluang untuk melabur di Coolblog tepat pada masanya. Langkah seterusnya, kami akan memanfaatkan rangkaian kami yang luas dan sedia ada di seluruh Asia Tenggara untuk melaksanakan visi dan strategi untuk syarikat ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90