Top Ad 728x90

Pemandu MyVi sebabkan kemalangan maut positif dadah

langgar kereta di lampu isyarat

 

 

 Kereta yang terbalik selepas dilanggar MyVi dalam kejadian berhampiran dengan lampu isyarat di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi, semalam. - Foto ihsan Bomba

Polis menahan pemandu Perodua Myvi wanita yang terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi, di sini semalam, hingga menyebabkan seorang lelaki meninggal dunia.

Difahamkan, pemandu berusia 23 tahun itu dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan dipercayai sudah tamat tempoh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata saringan awal air kencing mendapati pemandu berkenaan positif dadah.

Mohd Padzli berkata, kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, membabitkan kenderaan pemandu berkenaan dengan kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.

"Pemandu Myvi sudah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saringan awal air kencing mendapati positif dadah. Turut siasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular video menerusi rakaman kamera perakam video berdurasi 37 saat memaparkan berlaku insiden kereta berwarna putih terbalik selepas dilanggar kenderaan lain dalam kejadian berhampiran dengan lampu isyarat.

Mohd Padzli berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca pemandu kereta Myvi dipercayai hilang kawalan.

Katanya, pemandu itu kemudiannya terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan dan seterusnya melanggar dua kenderaan lain yang berada di persimpangan lampu isyarat menghala ke Plaza Pelangi Johor Bahru.

"Akibat kemalangan terbabit, pemandu kenderaan jenis Honda Accord mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," katanya.

Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian manakala Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd Rahman, berkata pihaknya menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pasukan keluaran operasi mendapati kereta jenis Honda Accord dipandu seorang mangsa dalam keadaan terbalik dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

"Mangsa tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya," katanya.


 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90