Top Ad 728x90

, ,

PKPB di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak dari 9 Nov hingga 6 Dis 2020

pkpb seluruh semenanjung

 


Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuatkuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan PKPB itu, dilaksanakan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung peningkatan kes positif COVID-19, di beberapa negeri di Semenanjung.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti, di samping untuk mengekang penularan COVID-19 di negeri-negeri ini,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Susulan daripada langkah itu, Ismail Sabri berkata PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah, yang sepatutnya tamat pada 9 Nov ini juga akan bersambung serentak dengan penguatkuasaan PKPB di tujuh negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata, SOP bagi PKPB berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya pergerakan merentas daerah, negeri tidak dibenarkan kecuali kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada polis.

Selain itu, Ismail Sabri berkata antara SOP PKPB lain termasuk semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska dan pusat tahfiz ditutup, manakala aktiviti keagamaan di masjid dan surau akan ditentukan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

“Semua aktiviti sosial dan budaya juga tidak dibenarkan, termasuk pusat hiburan dan kelab malam, namun semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang  telah ditetapkan,” katanya.

Mengenai negeri Kelantan, Pahang dan Perlis yang tidak tertakluk di bawah SOP PKPB, Ismail Sabri menegaskan pergerakan rentas negeri dari tiga negeri tersebut ke negeri-negeri lain tidak dibenarkan.

“Sebagai contoh, Kedah diisytiharkan PKPB, warga Kedah tidak boleh rentas negeri ke Perlis atau Perlis ke Kedah kecuali dengan kebenaran polis, walaupun Perlis itu hijau...sebab kita nak lindungi Perlis daripada kemasukan individu dari Kedah takut membawa jangkitan.

“Begitu juga Pahang ke Terengganu, Pahang ke Kuala Lumpur pun tidak dibenarkan rentas negeri,” katanya.

Bagaimanapun rentas daerah di dalam negeri Pahang, Kelantan dan Perlis yang masih di bawah PKPP masih dibenarkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata meskipun Sarawak masih dalam PKPP, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan juga tidak dibenarkan, begitu juga keluar dari Sarawak ke negeri-negeri di bawah PKPB.

Bagaimanapun, pergerakan rentas daerah di seluruh negeri Sarawak dibenarkan, kecuali ke daerah Kuching kerana bilangan positif kes COVID-19 di daerah itu adalah tinggi berbanding di daerah lain yang masih di zon Hijau, katanya.

Sumber : BERNAMA

 

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90