Honda CR-V baharu catat lebih 1,700 tempahan


 

Honda Malaysia menerima lebih 1,700 unit tempahan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) CR-V Baharu dengan peningkatan 180 peratus selepas sebulan ia diperkenalkan ke dalam pasaran.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, model 1.5 TC-P 2WD adalah paling laris dengan menyumbang 46 peratus jumlah tempahan keseluruhan.

"Wilayah tengah mencatatkan jumlah tempahan tertinggi sebanyak 45 peratus tempahan manakala selatan dan utara masing-masing dengan 20 dan 19 peratus.

"Daripada jumlah itu 30 peratus memilih warna Olive Metalik Gelap sebagai pilihan popular dan setakat ini sebanyak 1,300 unit CR-V baharu sudah diserahkan kepada pembeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

CR-V yang turut membawa maksud 'Comfortable Runabout Vehicle' adalah model pemasangan tempatan (CKD) pertama yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia pada 2003.

Ia juga model pertama Honda di negara ini yang menerima sistem keselamatan termaju Honda Sensing sebelum dipasang pada model-model lain selepas itu.

Sesuai sebagai kenderaan SUV serba guna ia juga kini dilengkapi Honda LaneWatch, prestasi dinamik dengan pilihan sistem pacuan empat roda (4WD) selain ruang dalaman yang luas serta selesa dengan kapasiti but 522 liter sehingga 1,084 liter sebaik kerusi belakang dijatuhkan.

Model ini tampil dengan gril kemasan hitam serta lampu hadapan signatur Honda dan bampar hadapan dengan gaya sayap baharu 'fascia' krom.

Bahagian belakang tampil dengan krom gelap, lampu belakang 'smoke', bampar dengan ekzos berkembar dan rim aloi 18 inci dwi-tona rekaan terkini.

Selain pintu but dengan kuasa elektrik, CR-V Baharu juga didatangkan dengan Penghidup Enjin Kawalan Jauh membolehkan pemiliknya menghidupkan enjin dan pendingin hawa dari luar tanpa perlu membuka kunci kenderaan.

"Tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini adalah tempoh terbaik pembeli mendapatkan model Honda CR-V Baharu pada harga yang menarik serta tempahan boleh dilakukan di kesemua pengedar sah Honda di seluruh negara yang turut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kesihatan dan keselamatan pelanggan," katanya.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Perak Metalik Lunar, Merah Mutiara Passion, Steel Metalik Modern, Olive Metalik Gelap dan Putih Mutiara Platinum.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dengan tiga varian pada harga RM139,912 (2.0L 2WD), RM157,615 (1.5L TC-P 2WD) dan RM162,910 (1.5 TC-P 4WD) (semua harga atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan).

Sumber : Harian Metro

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url