Tourism Malaysia lancar laman pelancongan digital

 

Tourism Malaysia melancarkan Brosur Digital Interaktif iaitu laman pelancongan digital sebagai penjenamaan semula risalah digital agensi itu menerusi pelayaran secara interaktif di ebrochures.malaysia.travel.

Sebagai permulaan lima risalah digital boleh dimuat naik iaitu Malaysia Travel Guide, Kuala Lumpur the Dazzling Capital City, Langkawi the Jewel of Kedah, Islands and Beaches dan Adventures with Nature.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata laman itu lebih mesra pengguna dan memudahkan orang ramai mengakses menerusi telefon bimbit, tablet atau komputer riba.

Katanya, kandungan risalah itu juga boleh dikongsi melalui pelbagai aplikasi media sosial lain seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan juga emel.

"Laman digital ini berbeza dengan penerbitan e-brosur format dokumen mudah alih (PDF) yang hanya boleh dimuat turun dan dicetak kerana menggabungkan pelbagai elemen multimedia seperti teks, audio, grafik, animasi serta video untuk penyampaian informasi lebih berkesan.

"Ia turut memanfaatkan pautan Google Maps untuk membantu pelancong serta pengusaha pelancongan merancang perjalanan, memilih penginapan sesuai serta mengetahui kemudahan yang ada di sekeliling seperti stesen minyak, restoran, parkir dan hospital," katanya dalam satu kenyataan.

Nancy berkata, laman itu menggunakan Google Analytics untuk penganalisisan data dan bersifat mesra Search Engine Optimization (SEO) bagi capaian lebih meluas.

Katanya, ia iuga direka khas dengan paparan lebih moden dan bergaya, serta boleh dikemas kini dengan serta-merta.

"Pelancaran Brosur Digital Interaktif ini selaras dengan usaha untuk mempergiat digitalisasi pelancongan bagi menyemarakkan semula industri pelancongan seperti digariskan menerusi Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030," katanya.

Justeru beliau menyeru orang ramai untuk memanfaatkan maklumat yang ada dalam laman interaktif itu serta mengambil peluang merancang percutian selamat bersama keluarga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Sumber : Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url