Top Ad 728x90

Tempahan sukarela vaksin AstraZeneca dibuka

 

Tempahan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca secara suka rela akan dibuka kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur bermula jam 12 tengah hari esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, memaklumkan mereka yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca boleh membuat tempahan melalui laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di pautan www.vaksincovid.gov.my.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, JKJAV menawarkan pilihan secara sukarela kepada orang ramai yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca.

"Tempahan akan dibuka esok 2 Mei pada jam 12 tengah hari menerusi vaksincovid.gov.my

"Anda mestilah sudah berdaftar (sebagai penerima vaksin) dan hanya perlu memilih Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan tarikh)," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Khairy turut memuat naik poster memaklumkan beberapa syarat kelayakan membuat tempahan untuk menerima vaksin AstraZeneca, yang ditawarkan secara 'siapa cepat, dia dapat'.

Selain mestilah sudah berdaftar sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), mereka yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca perlulah berusia 18 tahun ke atas, dan hanya ditawarkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pada sidang media Rabu lalu, Khairy memaklumkan vaksin AstraZeneca akan diberikan secara sukarela susulan kegusaran dalam kalangan masyarakat terhadap tahap keselamatan vaksin itu, yang dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.

JKJAV memutuskan vaksin itu hanya ditawarkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa ini selepas membuat pertimbangan mengenai bilangan kes di negeri berkenaan yang masih lagi tinggi.

Khamis lalu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK menjelaskan, pemohon sukarela tidak perlu membuat pendaftaran baharu dalam MySejahtera, sebaliknya hanya perlu membuat tempahan tarikh dan masa janji temu bagi keperluan urusan logistiknya.

Selain itu, vaksin AstraZeneca juga tidak tertakluk kepada penerima dalam fasa kedua PICK sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua, bergantung kepada bekalan dos yang ada.

Setakat ini, Malaysia sudah menerima 268,800 dos vaksin AstraZeneca pada 23 April lalu, dengan penerima memerlukan dua dos vaksin bagi mendapat perlindungan lengkap daripada COVID-19.

Khairy sebelum ini memaklumkan, sela masa pemberian vaksin AstraZeneca adalah selama 12 minggu selepas perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta yang diamalkan di United Kingdom.

Tempoh itu bagi membolehkan dos pertama diberikan kepada lebih ramai orang, sebelum bekalan tambahan vaksin AstraZeneca yang dijangka tiba bulan ini, diberikan sebagai dos kedua.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90