Perbelanjaan dan hutang kerajaan masih terkawal

 

Peningkatan paras defisit serta pertambahan ambang hutang statutori kepada 60 peratus menunjukkan kerajaan bersedia berbelanja sebagai tindak balas terhadap krisis.

Dalam pada itu, kerajaan juga memastikan langkah yang dilaksanakan masih di paras yang bertanggungjawab, demikian kata Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, langkah itu dicerminkan oleh pengumuman firma penarafan kredit global, S&P Global Ratings (S&P) yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara dengan menyokong usaha yang dilaksanakan kerajaan masih dalam had dasar yang bertanggungjawab di samping pengukuhan ekonomi negara.

Katanya, walaupun agak terhad dalam ruang fiskal, kerajaan akan memastikan sokongan yang mencukupi dalam memastikan sistem kesihatan negara mempunyai kapasiti untuk bertindak balas terhadap krisis kesihatan semasa, memastikan rakyat yang terjejas mendapat bantuan dan memastikan kelangsungan perniagaan.

"Sememangnya (kita berada) dalam krisis. Kerajaan menunjukkan kesediaan secara bertanggungjawab dengan berbelanja lebih sebagai tindak balas kepada krisis dan pada masa sama mengekalkannya dalam paras yang bertanggungjawab," katanya dalam satu temubual bersama stesen radio perniagaan, BFM89.9 hari ini.

Kerajaan kekal komited terhadap konsolidasi fiskal jangka sederhana dalam memastikan kemapanan fiskal negara. Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.4 peratus pada 2019. 

Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, defisit fiskal 6.0 peratus yang disasarkan pada tahun ini diunjurkan berkurang kepada paras purata sekitar 4.5 peratus antara 2021 hingga 2023 dengan jangkaan harga minyak mentah yang lebih tinggi serta keperluan sokongan fiskal yang berkurangan seiring dengan pemulihan pandemik COVID-19.

Mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Johan berkata, kerajaan yakin pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dalam beberapa fasa mengikut pelan pemulihan itu adalah lebih selamat dan stabil berbanding pembukaan sektor ekonomi secara meluas dan cepat, yang mana boleh menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.

Beliau berkata, langkah yang dilaksanakan dalam PPN menyaksikan usaha untuk keluar daripada sekatan pergerakan secara beransur-ansur berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan untuk beralih ke fasa selanjutnya.

Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPN Negara yang menetapkan aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat di bawah fasa kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis sekiranya purata kes harian COVID-19 turun di bawah 4,000.

Seterusnya, Malaysia boleh beralih kepada fasa ketiga, dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos 2021, sekiranya berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian COVID-19 turun kepada paras di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU kepada paras mencukupi serta 40 peratus populasi negara telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa keempat boleh digerakkan sekiranya nilai ambang tercapai iaitu purata kes harian berkurangan kepada paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada pada paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa keempat yang dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober 2021, mungkin boleh mengembalikan norma kehidupan seharian dengan semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sumber : Berita Harian

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url