Thailand belasah Indonesia 4-0
Gelaran 'Raja Bolasepak Asia Tenggara' hampir berada dalam genggaman Thailand selepas juara lima kali itu membenam Indonesia 4-0 pada aksi final pertama Piala AFF 2020..
'Messi Thailand', Chanathip Songkrasin yang cemerlang pada separuh akhir terus menjadi pemusnah apabila dua jaringannya membantu skuad 'Gajah Perang' memiliki kelebihan besar menuju ke final kedua, Sabtu ini.
Pada aksi di Stadium Nasional Singapura itu, Thailand bermula garang apabila hanya memerlukan dua minit untuk mendahului menerusi Chanathip.
Hantaran Philip Roller disambut dengan baik oleh kapten Thailand itu sebelum percubaannya yang menerjah gawang gol Indonesia hanya mampu dilihat Nadeo Argawinata.
Permainan pantas Thailand yang kerap kali bergerak menerusi bahagian sayap sentiasa mengancam Indonesia dan mereka nyaris melebarkan jurang pada minit ke-13.
Hantaran lintang daripada sebelah sayap kiri Thailand menemui Bordin Phala namun volinya dihalang Asnawi Mangkualam di depan pintu gol Indonesia sebelum tandukan susulan Elias Dolah melewati palang.
Anak buah Shin Tae Yong mensia-siakan peluang terbaik untuk mengikat kedudukan pada minit ke-40 apabila percubaan Alfeandra Dewangga yang hanya berdepan Siwarak Tedsungnoen melambung tinggi.
Bersambung babak kedua, Indonesia yang sedang mengancam kubu Thailand terpaku dengan serangan balas pantas Thailand yang disudahkan oleh Chanathip untuk gol kedua mereka pada minit ke-51.
Selepas percubaan penjaring terbanyak Indonesia, Irfan Jaya pada minit ke-61 diselamatkan Siwarak, Thailand beroleh gol ketiga enam minit berselang menerusi Supachok Sarachat disusuli gol keempat oleh Bordin (m83).
Sumber : Berita Harian