Mira Filzah hamil

 

Berbulan menyimpan rahsia, suami pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah, iaitu Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 32, mengesahkan isteri kesayangan berbadan dua.

Berkongsi berita gembira itu melalui akaun Instagram (IG), Wan Emir memaklumkan kandungan Mira atau nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29, bakal memasuki trimester ketiga.

"Syukur Alhamdulillah segala puji bagi Allah, pemilik seluruh alam, perkhabaran diterima yang kami akan menimang cahaya mata sulung kami.

"Insya-Allah, usia kandungan akan memasuki trimester ketiga, tidak lama lagi.

"Kepada semua yang berharap dan mendoakan kami dari dulu hingga kini, dengan rasa insaf dan rendah diri, kami ucapkan jutaan terima kasih.

"Semoga Allah SWT merahmati dan mengangkat segala usaha dan doa setiap seorang daripada kita... Amin," luahnya melalui entri di IG, malam tadi.

Ungkapan itu ditulis Wan Emir mengiringi entri yang memaparkan alat ujian kehamilan bersama foto perkahwinan mereka pada September 2020.

Tambahnya, seperti pasangan lain, mereka tidak terlepas melalui pengalaman menyentuh emosi ketika menantikan kehadiran cahaya mata yang bakal menjadi pelengkap rumah tangga.

"Seperti pasangan lain yang merancang membina keluarga, kami juga melalui pengalaman peribadi, pahit dan manis sepanjang perjalanan itu.

"Hanya doa yang mampu dipanjangkan. Apapun, kami yakin, Allah adalah sebaik-baik perancang dan Dia akan beri pada waktu yang tepat," katanya.

Tahun lalu, timbul desas-desus konon Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu hamil.

Tidak mengiya atau menafikan perkara itu, Mira bagaimanapun berjanji mengumumkannya jika sudah bersedia.

Mira dan Wan Emir mendirikan rumah tangga pada 2 September 2020 dan diraikan dalam empat majlis berasingan.

Sumber dari Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url