Pinjaman Genting HK: Bank Malaysia ada penilaian tertentu untuk beri pinjaman - Tengku Zafrul

 

Sektor perbankan Malaysia termasuk bank tempatan, yang terbabit dalam pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong, secara keseluruhannya amat berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa.⠀

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan keputusan bank berkenaan ketika meluluskan pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat terbabit bukan sesuatu yang luar biasa.

Beliau berkata, kelulusan itu diberi berdasarkan kesanggupan bank mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.

"Pinjaman kepada Genting Hong Kong diluluskan sebelum pandemik COVID-19 melanda dan sebagai sebuah syarikat dalam sektor libur, ia antara yang terkesan berikutan industri pelancongan yang terjejas di seluruh dunia. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan. 

"Selain itu, harus diingat, bukan saja bank tempatan yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong, malah turut membabitkan bank dari luar negara dan semua bank ini juga turut perlu mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman.

"Adakah Datuk Seri (Anwar) ingin memberi gambaran semua bank dari luar negara ini juga bertindak sembrono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong?" kata Tengku Zafrul menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu tiga bank Malaysia yang dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Susulan isu itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Tengku Zafrul menjelaskan mengapa tiga bank itu dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong yang diisytihar muflis, baru-baru ini.

Tengku Zafrul menjelaskan, keputusan bank berkenaan memberi pinjaman tanpa cagaran itu bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan atau pemegang saham, sebaliknya keputusan pengurusan bank itu sendiri.

"Setiap bank mempunyai proses usaha wajar dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka.

"Dari segi dasar, Bank Negara Malaysia (BNM) sudah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi dan selagi bank ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan, mereka bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi bicara mereka," katanya.

Mengenai peranan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham dalam bank-bank berkenaan, Tengku Zafrul berkata, pemegang saham tidak terbabit dalam operasi harian sesuatu syarikat dan ia diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri.

"Jika Menteri Kewangan atau pemegang saham campur tangan dalam urusan harian bank di Malaysia, jelas sekali ini tidak betul dari sudut tadbir urus.

"Saya yakin, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar juga sedia maklum mengenai perbezaan antara peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat," katanya.

Tengku Zafrul memaklumkan, sektor perbankan Malaysia sudah mengalami banyak penambahbaikan berbanding 1998 iaitu ketika Krisis Kewangan Asia berlaku dan Anwar ketika itu ialah Menteri Kewangan.

Katanya, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) pada Disember 1998 melonjak ke 18.6 peratus dan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) hanya pada tahap 55.9 peratus iaitu bagi setiap RM1 yang dipinjamkan, hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman tidak dibayar.⠀

"Sejak krisis itu, sistem perbankan Malaysia diperkukuh dan kini lebih berdaya tahan. Hari ini, nisbah pinjaman tidak berbayar hanya 1.4 peratus, termasuk peruntukan NPL separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong.

"LLC pula kekal kuat pada tahap 131.5 peratus berbanding 55.9 peratus pada 1998. Jadi, sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran," katanya.

Sumber dari Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url