CIMB jamin pelanggan tidak kehilangan sebarang dana
CIMB Bank Bhd (CIMB) memberi jaminan pelanggannya tidak akan kehilangan sebarang dana serta tiada sebarang kesan terhadap sistem bank berhubung kesilapan pemprosesan yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka minggu lalu.
CIMB berkata, pihaknya juga sudah mengambil langkah untuk menahan atau lebih dikenali sebagai 'earmark' amaun kredit pendua itu.
Ini kerana katanya, jumlah itu bukan milik pelanggan dan bank mempunyai kewajipan untuk memastikan wang dipulangkan.
"CIMB ingin menjelaskan sumber dana terlebih bagi transaksi pendua itu adalah diambil daripada wang pihak bank, dan bukannya daripada pengirim mahupun pelanggan penerima.
"Akaun pelanggan juga tidak dibekukan dan mereka masih boleh menggunakan baki dana melebihi amaun yang terkesan.
"Sehingga hari ini, tiada wang yang telah didebitkan daripada akaun pelanggan yang terkesan," katanya dalam satu kenyataa.
Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata, insiden yang berlaku itu adalah berkaitan dengan ralat pemprosesan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga tertentu, yang menyebabkan pemindahan transaksi yang dibuat kepada pelanggan kami diproses dua kali secara tidak sengaja.
Ini katanya mengakibatkan sebilangan terhad pelanggan CIMB terkesan kerana menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu jumlah diterima adalah dua kali ganda yang sepatut diterima.
Bank juga katanya sedang dalam perbincangan dan sedia bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.
"Ini termasuk memberikan bukti dan dokumentasi yang jelas mengenai duplikasi kredit yang tercatat di penyata bank dan menyediakan skim pembayaran balik yang fleksibel berdasarkan keadaan individu pelanggan.
"Kami telah menyediakan talian hotline khusus untuk pelanggan di talian 03 2295 6188. Pelanggan juga boleh menghubungi pusat panggilan pelanggan kami di talian 03 6204 7788 untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Sumber : Berita Harian