Warga sekolah boleh kembali makan di kantin
Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid, guru dan seluruh warga sekolah kembali makan di kantin atau kafeteria sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sekolah yang mempunyai ruangan makan terhad dan murid ramai, dibenarkan menyusun waktu rehat secara berperingkat.
"Ini bagi sekolah yang mempunyai murid yang ramai dan jika semua ke kantin pada masa sama hingga mengakibatkan kesesakan teruk, sekolah ini dibenarkan untuk menyusun waktu rehat berperingkat.
"Paling penting selepas ini, murid dapat makan di kantin seperti sebelum kemunculan COVID-19," katanya pada sidang media khas.
Berhubung aktiviti sukan dan kokurikulum, katanya, semua aktiviti itu termasuk penganjuran kejohanan, pertandingan di dalam dan luar sekolah adalah dibenarkan.
"Kita sering mendapat pertanyaan bila aktiviti sukan dan kokurikulum diberi kelonggaran untuk dibenarkan semula. Bagaimanapun, murid, guru, jurulatih atau pengajar yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti sukan dan kurikulum," katanya.
Katanya, KPM juga mendapat banyak pertanyaan berkaitan surau dan masjid dalam kawasan institusi pendidikan, khususnya mengenai solat Jumaat.
"Solat boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Selain itu, jemaah luar dibenarkan solat Jumaat dalam kawasan institusi pendidikan. Pelajar asrama juga dibenar menunaikan solat Jumaat di luar kawasan institusi pendidikan," katanya.
Sumber : Berita Harian