Hati-hati iklan cari keldai akaun bank

 


Sindiket penipuan kini semakin berani mencari mangsa keldai akaun secara terbuka dengan memuat naik iklan di media sosial bertujuan menyewa mana-mana akaun milik individu untuk kegiatan jenayah mereka.

Kebiasaannya individu kesempitan atau golongan muda yang terdesak untuk mendapat wang dengan cara mudah akan terpedaya dan terperangkap menjadi keldai akaun tanpa menyedari akaun mereka terbabit dengan aktiviti penipuan kewangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata hukuman terhadap keldai akaun mungkin dianggap ringan, namun kesan jangka panjang akan dirasai selepas golongan itu selesai menjalani hukuman.

"Ketika ini sindiket penipuan kewangan semakin berani mencari mangsa untuk meminta sewa akaun, digunakan sebagai transit di media sosial. Malah, masih ramai yang terpedaya.

"Kebiasaannya golongan yang berusia dari 20 hingga 40-an terjebak dengan sindiket ini kerana tiada kerja tetap selepas dijanjikan wang dengan cara mudah," katanya.

Aibee berkata, pihaknya sukar untuk membuktikan pemilik akaun media sosial berkenaan terbabit dengan sindiket penipuan hanya berdasarkan iklan yang dibuat dan tindakan yang boleh dibuat adalah dengan membuat laporan kepada pengurusan media sosial yang terbabit.

"Dari Januari sehingga Mei lalu, JSJK Negeri Sembilan menahan seramai 565 suspek yang terbabit dengan jenayah komersial dan 343 atau 60 peratus daripadanya membabitkan keldai akaun.

"Keldai akaun juga boleh ditahan serta dituduh kerana terbabit dengan sindiket penipuan dan hukumannya mungkin dianggap ringan namun selepas mereka keluar dari penjara, rekod itu tetap ada.

"Ini akan menyusahkan golongan ini untuk mendapatkan pekerjaan. Saya difahamkan akaun bank mereka akan dibekukan dan tidak dibenarkan untuk membuka akaun baharu yang mana ia akan menyusahkan urusan mereka kelak.

"Malangnya, sebahagian besar daripada mereka tidak sedar dijadikan keldai akaun. Ada juga kes akaun digunakan selepas menyerahkannya kepada Ah Long ketika membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen itu," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url