Hanya latih amal, tiada isu Empangan Kenyir akan pecah - NADMA

 


Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan isu yang tular mengenai Empangan Kenyir yang kononnya akan pecah berikutan bakal menerima taburan hujan lebat tahun ini sebagai tidak benar.

Justeru, NADMA menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan isu terbabit yang tular, sebaliknya mengesahkan beberapa paparan tersebar di media sosial adalah berkaitan Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan pada 26 hingga 29 September 2022.

NADMA melalui kenyataan media berkata, latih amal itu adalah program membabitkan agensi kerajaan bersama anggota komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana berada pada tahap optimum.

Katanya, semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi.

Masyarakat perlu peka dan mengetahui pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana," katanya.

Terdahulu, penduduk sekitar Empangan Kenyir dilapor bimbang susulan penyebaran berita kononnya empangan terbabit akan pecah disebabkan menerima taburan hujan lebat sehingga berisiko menyebabkan banjir besar.

Walaupun menyedari mengenai latih amal yang diadakan, berita yang tular sedikit sebanyak mengundang kerisauan mengambil kira keadaan cuaca yang tidak menentu, selain kejadian runtuhan tanah yang berlaku di kawasan itu pada Februari lalu.

Dalam pada itu, NADMA berkata selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menganjurkan pelbagai program latih amal.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan terhadap bencana.

NADMA juga memaklumkan, latih amal itu bukan baharu, malah pernah diadakan bagi Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highland dan beberapa empangan lain.

"Lain-lain latih amal yang pernah dianjur bagi memastikan kesiapsiagaan agensi dan masyarakat adalah Latih Amal Tsunami di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

"Latih Amal turut diadakan untuk memperkasa koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana, selain meningkatkan kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan yang berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendalian bencana," katanya.

Katanya, selain meningkatkan kefahaman masyarakat, latih amal dapat menambah baik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url