Semakan keputusan bagi tawaran kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 dan 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tahun ini boleh disemak mulai 7 Mac 2023, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semakan itu boleh dibuat bermula jam 8 malam esok.
Sehubungan itu, katanya, calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel didaftarkan semasa permohonan.
Beliau berkata, pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my, selain mendapatkan makluman terkini melalui portal dan semua platform media sosial agensi itu.
"Pemohon atau ibu bapa perlu membuat pengesahan terima atau tolak tawaran kemasukan dalam tempoh tujuh hari. Tawaran berkenaan dianggap terbatal, jika calon tidak membuat pengesahan penerimaan dalam tempoh ditetapkan.
"Permohonan rayuan ke MRSM akan mula dibuka secara dalam talian, bermula pada 7 hingga 14 Mac ini," katanya yang juga Canselor Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dalam kenyataan
Ahmad Zahid berkata, pertukaran penempatan adalah tidak dibenarkan sepanjang pengajian di MRSM dengan pendaftaran baharu ditetapkan pada jam 8.30 pagi, 21 Mac ini.
"MARA masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan pelajar adalah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), dengan keutamaan turut diberikan kepada pemohon luar bandar dan miskin bandar.
"MARA tahun ini, menerima 90,018 permohonan ke Tingkatan 1 dan 4 MRSM 2023, manakala kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 adalah seramai 7,169 murid, manakala Tingkatan 4 pula sebanyak 2,109 pelajar," katanya.