Tiada penalti dikenakan jika tampil membuat pengakuan cukai – LHDN

 


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan mengenakan penalti terhadap individu yang tampil membuat pengakuan cukai menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) bermula 1 Jun ini hingga 31 Mei tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata inisiatif itu adalah usaha kerajaan membantu individu yang ingin membuat pengakuan cukai.

"Tiada penalti, apa yang sudah berlalu (tidak membayar cukai) itu tidak apa. Hanya laporkan saja berdasarkan apa yang diketahui, hasil terima secara baik dan tidak akan buka lagi tahun-tahun berkenaan untuk diaudit.

"LHDN akan berikan panduan apa yang patut dibuat supaya tidak lagi berlaku kekurangan atau tidak lapor bila ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa LHDN dan Apresiasi Media Sabah 2023 di sebuah hotel di bandar raya ini, semalam.

Sementara itu, Mohd Nizom berkata pihaknya menganggarkan kira-kira 50,000 pembayar cukai baharu dan sedia ada tampil untuk membuat pengakuan cukai secara sukarela menerusi program berkenaan.

"Berdasarkan data LHDN, kita menganggarkan bilangan yang akan tampil membuat pengakuan sukarela ini untuk melaporkan yang terkurang atau tertinggal sebelum ini dianggarkan kira-kira 50,000 dan hasil itu kita tak fokus sangat, tetapi kita buat anggaran secara realistik iaitu RM1 bilion," katanya.

Ketika diminta mengulas langkah yang akan diambil LHDN dalam mendekati golongan pembayar cukai untuk menyertai program PKPS, Mohd Nizom berkata, pihaknya sedang menyediakan satu garis panduan cara untuk menyertai program itu.

"Mungkin kita akan bermula dengan soalan lazim, macam mana mahu sertai.

"Kemudian kita akan keluarkan garis panduan yang lebih teliti bagaimana hendak ambil bahagian atau tampil ke hadapan dalam program pengakuan sukarela," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url