Sementara itu, KPM juga cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana, termasuk banjir sepanjang peperiksaan berkenaan berlangsung.
"Semua calon peperiksaan STAM dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
"Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan Jabatan Pendidikan negeri di seluruh negara," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan, akan sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
KPM juga komited melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur dan mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.
Sumber : BERNAMA