Takwim SPM, STPM diselaras dengan kalendar persekolahan 2026
Takwim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) akan diselaras sepenuhnya seiring pengembalian kalendar persekolahan pada Januari bermula 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata pengembalian takwim itu akan turut membantu mengurangkan beban tugas guru.
"Kita ingin pastikan selain anjakan atau pengembalian sesi persekolahan ke Januari 2026, isu takwim SPM, STPM dan kemasukan ke universiti akan dibuat penyelarasan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Mohd Misbahul, Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf Kalendar Akademik 2025 dan draf Kalendar Akademik 2026 sebelum diangkat untuk pewartaan.
"KPM akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.
"Penjajaran kepada jadual peperiksaan awam juga akan dilaksanakan supaya selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan," katanya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada Mei tahun lalu mengumumkan KPM memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak 2022 susulan pandemik COVID-19.
Menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) berkenaan pelaksanaan kurikulum yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran (PdP), Kah Woh berkata, satu pasukan petugas khas intervensi kurikulum ditubuhkan bagi menangani isu berbangkit terutama oleh warga pendidik.
Katanya, pasukan petugas khas itu berperanan menyediakan Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 Edisi 3.0 yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025.
"Mereka juga akan melaksanakan pengesanan awal literasi dan numerasi bagi murid Tahun Satu selepas tiga bulan mengikuti persekolahan.
"Selain itu, menghasilkan pelaporan PBD yang mesra ibu bapa dan menyediakan latihan guru untuk Dokumen Penjajaran KSSR Semakan 2017 Edisi 3.0 dan pentaksiran bilik darjah," katanya.
Bagi membantu guru melaksanakan kurikulum dengan berkesan, katanya, KPM membangunkan banyak bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"KPM turut melaksanakan beberapa strategi bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran guru dan murid, selain menyediakan platform repositori yang dikenali sebagai SumberKU yang boleh diakses melalui pelantar DELIMa.
"SumberKU mendokumentasikan Strategi Pengukuhan dan Pengayaan, Pemugaran Literasi dan Numerasi, Pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) serta menyediakan bahan sokongan pengukuhan dan pengayaan bagi murid." katanya.
Sumber : Berita Harian