Sultan Ibrahim ditabal Yang Di Pertuan Agong ke 17
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim yang penuh gilang-gemilang di Istana Negara hari ini dimulakan dengan upacara penuh tradisi ketenteraan Hormat Diraja daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Upacara yang berlangsung di Dataran Istana Negara itu melibatkan cabang darat, laut dan udara, lambang taat setia pasukan pertahanan negara kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.
Acara bermula tepat 9.45 pagi dengan keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke Peterana Diraja, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sebaik tiba di Peterana Diraja, Yang di-Pertuan Agong diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dibarisi empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
Mereka diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan yang turut membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen 1 RAMD.
Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD dan Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.
Sultan Ibrahim yang mengenakan Muskat, iaitu persalinan istiadat Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama dan memberi hormat sewaktu melintasi panji-panji.
Selesai pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menerima Hormat Diraja dan serentak itu juga lagu Negaraku berkumandang.
Seri Paduka berdua kemudian berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Seri Maharaja bagi meneruskan atur cara istiadat pertabalan diiringi Anwar dan Dr Wan Azizah.
Ketika berangkat masuk ke Balairung Seri Istana Negara untuk bersemayam di atas Singgahsana, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah yang anggun dalam persalinan Kurung Johor berwarna keemasan menarik perhatian seluruh jemputan.
Alunan tiupan nafiri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Perak yang memainkan lagu Raja Berangkat bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja dalam istiadat penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.
Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini kemudian memohon perkenan Seri PadukaBaginda bagi memulakan istiadat pertabalan di Balairung Seri itu.
Istiadat pertabalan dihadiri 700 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri dan komuniti diplomatik asing serta pemimpin-pemimpin utama negara, turut disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen negara.
Sultan Ibrahim yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.
Pelantikan baginda bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.