Bank Rakyat perkenal Akaun Simpanan-i Nuri Kids

 


Bank Rakyat mengambil langkah inovatif memperkenalkan Akaun Simpanan-i Nuri Kids bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan Akaun Simpanan-i Nuri Teens bagi remaja berusia 12 hingga 18 tahun.

Pengenalan Akaun Simpanan-i Nuri berwajah baharu itu adalah bagi memupuk semangat menyimpan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, berkata sebelum ini Akaun Simpanan-i Nuri hanya boleh dibuka oleh ibu bapa atau penjaga dengan mengunjungi cawangan Bank.

Bagaimanapun, katanya, dengan ciri baharu yang diperkenalkan, proses pembukaan akaun yang lebih mudah dan pantas kini boleh dilakukan di platform digital Bank Rakyat Quick (BRICK).

"Nuri bukan sekadar jenama bagi produk perbankan Bank Rakyat untuk kanak-kanak, tetapi adalah simbolik sebagai wira atau pun 'hero' kepada golongan kanak-kanak dan remaja sejak Akaun Simpanan-i Nuri diperkenalkan pada 1994.

"Menerusi pelbagai keistimewaan dan faedah baharu yang ditawarkan, Bank Rakyat berharap Nuri akan terus menjadi inspirasi dan motivasi kepada generasi muda untuk menyimpan dan merancang masa depan mereka dengan lebih baik," katanya pada program Nuri Splash Fiesta di SplashMania, Gamuda Cove, di sini, hari ini.

Program itu juga menghimpunkan seramai 150 orang pelajar yang mewakili program Sekolah Tanpa Tunai dan sekolah jemputan khas Bank Rakyat.

Mengulas lanjut, Mohammad Hanis berkata, dengan deposit pembukaan akaun serendah RM20 saja, pelanggan boleh menikmati pelbagai faedah.

Beliau berkata, ia termasuk kadar keuntungan menarik sehingga 2.00 peratus setahun, keahlian Kelab Nuri secara automatik, peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik serta menikmati pelbagai keistimewaan yang ditawarkan oleh rakan kolaborasi Kelab Nuri seperti tawaran diskaun, tiket kemasukan percuma dan harga istimewa bagi barangan terpilih.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berharap agar ibu bapa memanfaatkan peluang mendaftarkan Akaun Simpanan-i Nuri Kids dan Akaun Simpanan-i Nuri Teens untuk anak-anak mereka agar dapat menikmati pelbagai ciri baharu serta faedah yang ditawarkan.

Beliau berkata, Bank Rakyat menyasarkan 25,000 akaun baharu itu dibuka menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Kelab Nuri memperkenalkan sebanyak 39 rakan kolaborasi baharu seperti SplashMania @ Gamuda Cove, Pusat Tuisyen PTTI, Jumpstreet Malaysia, Selamatbercuti.com, Super Park dan Big Bounce Park serta banyak lagi untuk menawarkan lebih manfaat kepada ahli kelab.

Di samping itu, Kad Debit-i Nuri dan Kad Keahlian Kelab Nuri juga kini berwajah baharu dengan reka bentuk yang menarik.

Kad Debit-i Nuri boleh digunakan sebagai kad keahlian Kelab Nuri dan hanya diberikan kepada pelanggan berusia 12 sehingga 18 tahun yang mana boleh digunakan di mana-mana mesin ATM Bank Rakyat atau ATM berlogo MEPS di seluruh negara.

Bank Rakyat menerusi inisiatif Jangkauan Komunitinya turut menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak yang memerlukan termasuk sumbangan sebanyak RM4,775 untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan adik Raees Hussein Mohd Zulhusni bagi meringankan beban kewangan keluarganya.

Selain itu, sumbangan sebanyak RM7,000 juga disalurkan bagi menampung kos pembelian alat bantu pendengaran adik Zya Filza Fauzi Abdul Fattah yang berumur enam tahun sebagai persediaan untuk beliau memasuki sekolah pada tahun depan.

Pada majlis itu, Bank Rakyat turut menyerahkan sijil penghargaan kepada rakan kerjasama baharu Kelab Nuri seperti Gamuda Land Leisure Sdn Bhd, PTTI Group Sdn Bhd, Selamatbercuti.com, Jumpstreet Malaysia Sdn Bhd dan Sports

Entertainment Asia bagi menghargai peluang kerjasama itu.

Menerusi kerjasama itu, ahli Kelab Nuri berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik yang disediakan termasuk, diskaun 10 peratus untuk yuran kemasukan di enam lokasi tarikan Gamuda Land Leisure serta kelas tuisyen dalam talian secara percuma oleh PTTI Group.

Selain itu, diskaun dan tawaran menarik turut ditawarkan oleh Selamatbercuti.com., Jumpstreet Malaysia dan Sports Entertainment Asia.

Sementara itu, Bank Rakyat turut menganjurkan Kempen Adik Simpan, Adik Senang bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM190,000 sebagai inisiatif memupuk tabiat menyimpan.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url