Peniaga Forex yang juga bekas guru dituduh bunuh dan kerat Cikgu Istiqomah

 


Peniaga mata wang asing (forex) dituduh di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, pada Disember lalu.

Sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan jurubahasa jam 10.45 pagi, tertuduh Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengaku faham dalam prosiding didengar Majistret Dr Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari Medan Klebang Mewah, Chemor, Perak kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pembunuhan terhadap Istiqomah Ahmad Rozi di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, di sini, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum gantung di sampai mati atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod dan Sharina Farhana Nor Sa'ari memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.

Muhammad Nazrin turut membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh mengikut peruntukan Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Majistret Dr Teoh kemudian menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

"Encik Mohd Fadzly, awak boleh hubungi keluarga selepas ini untuk melantik peguam (mewakili kes)," katanya.

Terdahulu, ahli keluarga mangsa tiba dari Kota Masai, Johor, kira-kira jam 9.45 pagi dan sebahagian daripada mereka dilihat memasuki kamar mahkamah dan mengikuti pendakwaan kes itu.

Biras mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka datang dari Pasir Mas, Kelantan dua hari lalu sebelum bermalam di rumah Allahyarham di Kota Masai.

Ditanya apa perasaan apabila akhirnya tertuduh dituduh di mahkamah selepas lapan bulan kehilangan Allahyarham Istiqomah, dia berkata: "Kami datang nak tunggu dan dengar pertuduhan, nak tengok guano, orang yang buat kat adik kito'."

Sebelum itu, Mohd Fadzly tiba di pekarangan mahkamah jam 9.10 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju-T berwarna biru dan berseluar pendek warna coklat, sambil dikawal rapi anggota polis.

Lebih 20 pengamal media memenuhi pekarangan mahkamah bermula seawal 7 pagi untuk membuat liputan.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan 5 Ogos lalu di Chemor, Perak susulan siasatan dijalankan polis terhadap penemuan mayat wanita tanpa kepala dan beberapa anggota badan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang 31 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashar Abu Samah dilapor berkata hasil ujian DNA yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos lalu mendapati ia adalah sepadan dengan mayat ditemui.

Siasatan lanjut polis menahan seorang suspek lelaki berusia 37 tahun di Chemor pada 5 Ogos lalu selepas disyaki terbabit dalam jenayah itu.

Suspek direman seminggu bermula 6 hingga 12 Ogos lalu sebelum tempoh reman ke atasnya disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan lanjut dan soal tanya terhadap suspek membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat ditemui.

Polis menemui tulang jari dan kepala tidak jauh dari lokasi penemuan mayat, kira-kira lima hingga enam kilometer.

Suspek juga kenalan Istiqomah ketika bersama-sama melanjutkan pengajian di maktab perguruan.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.