BN tawan semula DUN Nenggiri dengan kemenangan besar


Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan secara rasmi menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri selepas menewaskan calon BERSATU mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail sekali gus menawan semula kerusi itu.

Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, jam 9.35 malam ini.

Mohd Azmawi Fikri, 38, secara rasmi menang dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie menang dengan majoriti 3,352 undi.

Keputusan rasmi itu diperoleh selepas kiraan semua 46 saluran peti undi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sebanyak 135 kertas undi ditolak.

Berdasarkan keputusan kiraan, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN pula hanya menguasai tiga PDM.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ogos tahun lalu, calon BN, Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.