Bercerita lanjut, Amir Hakimi berkata rakan serta kenalan turut membantu pergi mencari ayahnya ke lokasi kereta ditemui namun masih belum menemui sebarang petunjuk.
Selain itu, katanya keluarga mereka turut mengesan pergerakan kewangan ayahnya melalui aplikasi dalam talian serta pelbagai ikhtiar mereka lakukan termasuk berjumpa kenalan ayahnya, jiran, penduduk kampung termasuk isteri ayahnya yang masih bekerja di Kuala Lumpur.
"Agak menghairankan apabila ayah melakukan pencarian di Google mengenai Maybank2U pada pukul 11.15 malam ketika berada di rumah sedangkan ayah tidak pernah menggunakan sebarang sistem bank dalam talian.
"Kemudian dia keluar dari rumah pada malam 3 September itu juga, jejaknya terhenti di kawasan Sekolah Rendah Kuala Pegang antara jam 3 hingga 4 pagi pada 4 September, kami mengesyaki ayah dibawa lari oleh seseorang kerana telefon bimbitnya juga dimatikan.
"Semua kenalan ayah telah kami temui termasuk nama-nama kenalan ayah yang disebut oleh mereka, cuma seorang saja yang bernama Ramli yang menaiki kereta Mercedes yang kami tidak dapat temui kerana tiada siapa yang mengenalinya," katanya.
Amir Hakimi berkata, mereka mengetahui mengenai Ramli ini daripada seorang rakan ayahnya tetapi dia juga tidak mengenalinya, cuma selalu disebut oleh ayahnya ketika mereka bersembang sebelum kehilangannya.
Katanya, mereka juga cuba mencari nama Ramli yang menaiki kereta Mercedes ini melalui orang kampung ataupun kenalan-kenalan ayahnya tetapi tiada siapa yang mengenalinya.
"Sekiranya benar Ramli ini rakan yang mengenali ayah, sudah tentu dia akan menghubungi kami untuk mengetahui perkembangan ayah sekarang.
"Kami anak-anak semakin buntu, tiada petunjuk baharu, selain polis kami juga akan terus berusaha untuk jejaki ayah dengan sedaya yang mampu, semakin hari kami semakin runsing fikir keadaan ayah," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Charan Ai Wan ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu dan belum ada perkembangan terbaharu.
"Setakat ini, belum ada perkembangan kereta adalah milik OH (orang hilang). Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut membantu menyiasat kes ini," katanya.
Sumber : Berita Harian