Kes anggota tentera maut di Song disiasat ikut Seksyen 302 KK

 


Anggota tentera yang dipercayai terkena tembakan rambang pemburu haram di Song, Sarawak, hari ini, disahkan meninggal dunia selepas kira-kira lima jam bertarung nyawa.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa adalah anggota formasi Briged 9 Sibu yang merupakan sebahagian daripada Batalion Ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.

Menurutnya, insiden berlaku ketika mangsa sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi (EPB) yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 29 September ini.

"Ketika kejadian, mangsa sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song membabitkan kawasan am Kanowit-Nanga Dap-Song dan berkekuatan satu kompeni.

"Pada hari kedua latihan, jam 2.45 pagi tadi ketika sedang berehat, platun terbabit mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap atau jalan balak berhampiran lokasi mereka berehat.

"Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan," menurut kenyataan itu.

TDM memaklumkan, pemeriksaan perimeter dilakukan susulan bunyi tembakan itu dan mendapati mangsa cedera akibat tembakan berkenaan.

Katanya, mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4 pagi dan seterusnya dibawa ke Hospital Kapit kira-kira jam 5 pagi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.45 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kapit.

Dalam pada itu, TDM mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berhubung kejadian tembakan rambang berkenaan.

"Berilah ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan, sekali gus menghormati waris dan ahli keluarga yang berdukacita atas insiden ini.

"Rancangan pengurusan jenazah akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai.

"TDM mengucapkan salam takziah kepada waris dan ahli keluarga yang terjejas, serta mendoakan semoga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam bahagian Kapit, maut akibat tembakan yang dipercayai dilepaskan pemburu haram pada awal pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, dilapor mengesahkan kejadian itu yang membabitkan mangsa berpangkat Koperal berusia 28 tahun.

Beliau dipetik berkata, kes itu masih dalam siasatan lanjut dan polis telah melancarkan gerakan memburu suspek.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url