Hukum makan di restoran bukan Islam
KADANGKALA terlihat kelibat kenalan atau saudara Muslim kita makan di restoran yang diketahui milik orang bukan Islam.
Kedai itu menjual makanan yang halal dan tidak halal, cuma sebagai orang Islam, sudah tentulah mereka memilih hidangan halal.
Persoalannya, bolehkah kita makan di kedai bukan Islam tersebut?
Menerusi hantaran terbaharu di laman sosial Facebook milik pendakwah Ustaz Azhar Idrus, beliau menjelaskan, tuntutan memakan makanan dan minuman halal adalah wajib ke atas sekalian umat Islam.
Tidak kiralah sama ada mereka tinggal di dalam negara Islam mahupun bukan Islam.
“Ini kerana makanan yang halal itu telah terkena najis,” katanya sepertimana dipetik menerusi akaun Facebook miliknya pada Isnin.
Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Tsa’labah Al-Khusyani RA bahawa dia berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ketika kami berada di negara ahli kitab, apakah harus kami makan di dalam bekas-bekas mereka?" Maka jawab Rasulullah: "Jangan kamu makan padanya melainkan kamu tidak mendapati bekas-bekas yang lain, maka bersihkannya terlebih dahulu, kemudian kamu makan di dalamnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan ungkapan nas itu, ujar Ustaz Azhar, hadis tersebut menjadi dalil bahawa bekas mengisi makanan sama ada semasa dimasak atau dimakan seperti penggunaan kuali, pinggan, mangkuk, cawan dan sudu perlu bebas daripada unsur najis.
“Pendek kata, jika ia pernah digunakan sebelumnya oleh orang bukan Islam untuk memasak dan memakan makanan yang bernajis seperti daging tidak disembelih, arak serta seumpamanya, ia adalah mutanajis.
“(Maka) tidak boleh digunakan oleh orang Islam melainkan setelah dibersihkan segala bekas tersebut terlebih dahulu,” katanya.
Ia sebagaimana diterangkan oleh Imam Abu Ath-Thayyib Al-Abadi dalam kitabnya, ‘Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud yang menyatakan: “Bermula hukum asal pada masalah ini bahawa apabila diketahui daripada hal orang-orang kafir, sesungguhnya mereka memasak babi pada segala periuk mereka dan meminum arak pada cawan mereka, maka sesungguhnya tidak harus menggunakannya melainkan setelah membasuhnya dan membersihkannya.”
Bagaimanapun, andai segala bekas di kedai orang bukan Islam itu tidak memasak bahan makanan yang haram dan najis, jelas Ustaz Azhar, tidak wajib membersihkan perkakasan tersebut.
“Namun begitu, yang afdal adalah membersihkannya,” ungkapnya.
Sumber : Sinar Harian