Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan keadaan cuaca panas dan kering tidak menentu yang melanda negara ketika ini, akan berterusan sehingga pertengahan atau hujung Mei.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan cuaca sedemikian adalah fenomena biasa yang berlaku di luar fasa peralihan monsun iaitu pada penghujung musim Monsun Timur Laut dan musim Monsun Barat Daya.
"Misalnya, negara sedang berada dalam fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga pertengahan atau penghujung Mei.
"Ketika fasa ini, keadaan cuaca lazimnya panas pada waktu tengahari dan menjadi lembap pada sebelah petang dan awal malam di kebanyakan kawasan," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keadaan cuaca kering dan panas yang tidak menentu dialami banyak kawasan ketika ini.
Mohd Hisham berkata, keadaan tidak menentu itu disebabkan corak tiupan angin yang tidak konsisten dan sentiasa berubah arah.
"Justeru kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia," katanya.
Sumber : Berita Harian
0 Comments:
Catat Ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.