Gunung Merapi muntahkan asap panas
Gunung Merapi memuntahkan aliran piroklastik sembilan kali semalaman sehingga awal hari ini, lapor portal tempo.co.
Piroklastik adalah material vulkanik yang berasal dari letusan gunung berapi, meliputi batuan dan aliran gas panas.
Fenomena ini berlaku selepas peningkatan intensiti hujan di kawasan berkenaan.
Menurut portal berkenaan, siri aliran piroklastik dengan jarak gelongsor maksimum 2,500 meter menuju ke barat daya ke Kali Sat/Putih, Bebeng dan Krasak.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Penyiasatan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi Jogjakarta (BPPTKG), Agus Budi Santoso, menggesa penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap bahaya aliran lava dan piroklastik.
"Orang ramai mesti berwaspada terhadap bahaya aliran lava dan piroklastik, terutamanya semasa hujan di sekitar Gunung Merapi," katanya.
Status berjaga-jaga Gunung Merapi tidak berubah sejak 5 November 2020, atau sejak aktiviti gunung berapinya mula meningkat.
Data pemantauan BPPTKG menunjukkan bahawa bekalan magma masih berterusan dan boleh mencetuskan berlakunya aliran piroklastik dalam zon bahaya yang berpotensi.
"Masyarakat tidak seharusnya terbabit dalam sebarang aktiviti dalam zon bahaya yang berpotensi," kata Agus.
Beliau menjelaskan bahawa potensi bahaya semasa termasuk runtuhan lava dan aliran piroklastik di sektor selatan-barat daya.
"Orang ramai juga perlu menjangkakan gangguan akibat abu gunung berapi daripada letusan Gunung Merapi," katanya.
Kosmo!


