Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu.
Perkara itu disahkan melalui kenyataan bersama oleh empat presiden parti komponen gabungan berkenaan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di ibu pejabat PAS, di sini, petang ini.
Mereka ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan sebulat suara melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi baharu PN, berkuat kuasa serta-merta.
"Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
"Perkara-perkara lain akan dibawa untuk dibincang serta diputuskan dalam mesyuarat MT PN yang akan datang," menurut kenyataan itu yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Selain empat presiden parti komponen, turut tersenarai hadir mesyuarat hari ini ialah Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden; serta Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Barisan Ahli MT PN yang hadir ialah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Oh Tong Keong, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Idris Ahmad, Wong Chia Zhen, S Subramaniam serta K Sivakumar.
Sementara itu, Lau ketika ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat berkenaan berkata, pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu dipersetujui empat presiden parti komponen serta ahli MT PN.
"PAS adalah parti terbesar di Malaysia yang ada Ahli Parlimen (teramai di Dewan Rakyat). Kita harap sokongan semua pihak, berbagai kaum dan rakyat," katanya.
Beliau berkata, mesyuarat khas yang berlangsung sekitar 30 minit itu dipengerusikan sendiri oleh Muhyiddin.
Mengenai kedudukan Ketua Pembangkang pula, Lau berkata, ia akan dibincangkan oleh pemimpin PN serta Ahli-ahli Parlimen PN yang lain selepas ini.
Pada 30 Disember 2025, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.


