Inkues Zara Qairina: Ibu ‘Pelajar A’ dakwa diganggu ibu mangsa melalui WhatsApp

 
Ibu kepada Pelajar A, salah seorang daripada lima pelajar yang dituduh menghina Allahyarham Zara Qairina Mahathir, memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa dia diganggu oleh ibu Zara melalui aplikasi WhatsApp berhubung kenyataan polis.


Saksi berusia 42 tahun itu berkata, ibu Zara, Noraidah Lamat didakwa mengarahkannya untuk menafikan kenyataan Pelajar A kepada polis dan menghubungi pegawai penyiasat secara terus.

“Ibu Zara menghantar mesej kepada saya di WhatsApp, memarahi saya kerana membiarkan Pelajar A memberitahu perkara sebenar kepada polis.

“Dia juga mengarahkan kami untuk menafikan kenyataan tersebut dan menyuruh saya menghubungi pegawai berkenaan secara terus,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Menurut saksi ke-62 itu, mesej berkenaan juga mengandungi dakwaan bahawa kenyataan Pelajar A diputarbelitkan, mendakwa pihak polis bersekongkol dengan pengetua sekolah, serta tuntutan agar kenyataan itu dinafikan.

Dia berkata, ibu Zara mempersoalkan kesahihan catatan diari, termasuk kata-kata kesat yang didakwa ditulis oleh Zara, dan mendakwa pengesahan forensik menunjukkan tulisan tangan itu bukan milik anaknya.

Saksi itu turut mendakwa ibu Zara menuduh pihak sekolah memalsukan bukti, mendakwa Pelajar A hanya mengikut arahan sekolah, serta melarang Pelajar A daripada menziarahi kubur Zara.

“Saya telah memaklumkan kepada pegawai penyiasat dan Ustaz Azhari mengenai gangguan ini,” katanya sambil menambah bahawa satu laporan polis dibuat bagi memohon siasatan dijalankan terhadap ibu Zara.

Terdahulu, saksi itu berkata, dia mula mengetahui mengenai insiden Zara pada 16 Julai 2025, kira-kira jam 8.39 pagi melalui mesej WhatsApp daripada ibu pelajar lain.

Dia juga menceritakan bagaimana dia menghubungi Noraidah untuk bertanya khabar serta menasihatinya agar bertenang, bersabar, dan berhati-hati ketika memandu.

Dia turut mencadangkan agar Noraidah berselawat dan beristighfar untuk menenangkan jiwa.

“Saya terkejut tetapi kagum dengan ketenangannya. Suaranya tenang apabila saya bertanya adakah benar Zara jatuh dari bangunan. Kadang-kadang suaranya kedengaran sedih, tetapi dia tidak meratap.

“Saya menghubunginya berkali-kali, hampir setiap jam, kerana risau dia memandu sendirian dari Sipitang ke Kota Kinabalu dalam keadaan sebegitu.

“Dia tiba di hospital lewat daripada yang dijangkakan, mungkin kerana memandu perlahan dan kesesakan lalu-lintas,” kata saksi itu lagi.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Pada 20 Ogos 2025, lima pelajar termasuk Pelajar A (yang identitinya dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menghina Zara. Kes tersebut masih berjalan.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url