Anak pasangan gagal daftar nikah di Malaysia tak boleh dibinkan bapa

 


Anak pasangan beragama Islam yang berkahwin di luar negara termasuk Thailand, tetapi gagal mendaftar atau membuat pengesahan pernikahan di Malaysia, tidak boleh dibinkan kepada bapa dalam sijil kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata pendaftaran anak berkenaan masih boleh dibuat dengan JPN bagi mendapatkan sijil kelahiran, namun nama bapa perlu dinasabkan kepada Asmaul Husna, iaitu 99 nama Allah SWT.

Beliau berkata, ketika pendaftaran, status pernikahan ibu bapa perlu dibuktikan melalui dokumen pernikahan yang sah dan diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.

Sekiranya pernikahan tidak didaftarkan atau tidak dapat disahkan, proses pendaftaran kelahiran itu akan didaftarkan mengikut Seksyen 13.

Seksyen 13 bermaksud pasangan tidak berkahwin, tetapi hadir untuk tandatangan bersama di Borang LM01; pasangan berkahwin di luar negara, tetapi tidak mendaftar mengikut undang-undang Malaysia dan kanak-kanak Islam dilahirkan belum cukup enam bulan Qamariah dari perkahwinan ibu bapa.

"Taraf kewarganegaraan anak dalam sijil kelahiran adalah mengikut taraf kewarganegaraan ibu ketika kelahiran berlaku.

"Sekiranya bapa adalah warga Malaysia, manakala pasangannya warga asing, namun perkahwinan tidak diiktiraf mengikut undang-undang (di Malaysia), taraf warganegara anak mengikut taraf warganegara ibu," katanya kepada BH.

Badrul Hisham berkata, anak berkenaan yang dinasabkan nama Asmaul Husna, iaitu 99 nama Allah SWT mengikut Seksyen 13 Akta 299 boleh mengemas kini maklumat bagi menukar kepada nama bapa semula selepas pasangan itu melakukan pendaftaran perkahwinan di Malaysia.

Katanya, apabila pasangan sudah mendaftar semula perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah, ibu bapa boleh hadir semula ke JPN untuk membuat pembetulan maklumat mengikut Seksyen 27(3) dengan menasabkan nama bapa.

"Berdasarkan rekod JPN, ada kes dokumen pengenalan diri kanak-kanak menjadi tidak lengkap atau memerlukan pengesahan lanjut akibat pernikahan ibu bapa yang tidak didaftarkan di Malaysia.

"JPN ingin menegaskan bahawa setiap kes dinilai secara individu berdasarkan dokumen dan fakta yang dikemukakan.

"Buat masa ini, JPN tidak mempunyai angka khusus, namun isu ini memang memberi implikasi terhadap kelancaran urusan dokumentasi anak," katanya.

Justeru, Badrul Hisham menasihatkan semua pasangan yang berkahwin di luar negara, termasuk Thailand supaya mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Lindungi kepentingan anak

Katanya, pendaftaran pernikahan bukan sahaja penting dari sudut pematuhan undang-undang, malah bertujuan melindungi hak dan kepentingan anak, khususnya dalam urusan pendaftaran kelahiran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri.

"Kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan jangka panjang kepada anak, termasuk urusan pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam," katanya.

BH sebelum ini melaporkan, ramai pasangan Islam dari Malaysia yang berkahwin di Thailand tidak mendaftarkan perkahwinan di tanah air sehingga menimbulkan kerumitan selepas mereka mendapat zuriat.

Selain bimbang diketahui isteri pertama bagi lelaki yang menambah pasangan hidup dengan berpoligami di Thailand, punca lain mereka tidak mendaftar perkahwinan di Malaysia kerana krisis keluarga atau faktor kewangan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, dilaporkan berkata undang-undang Malaysia tidak mampu menghalang pernikahan warga kita di Thailand.

Bagaimanapun katanya, pasangan berkenaan sepatutnya mendaftarkan pernikahan mereka di sini selepas akad nikah di negara jiran, selain bagi memastikan pernikahan di Thailand itu adalah sah.


Daftar selepas 5 tahun kahwin kerana fikir nasib anak

"Selepas lima tahun berkahwin di Thailand tanpa mendaftar pernikahan di Malaysia kerana takut diketahui isteri pertama, saya terpaksa akur perlu berbuat demikian selepas isteri kedua melahirkan anak sulung kami dan berdepan masalah ketika mendaftar sijil kelahiran".

Demikian perkongsian oleh individu mahu dikenali sebagai Hisham, 45, antara pasangan Malaysia yang berkahwin di selatan Thailand.

Bapa kepada lima cahaya mata itu, berkata ketika berkahwin di Narathiwat, Thailand pada 2013, dia berusaha merahsiakan perkahwinan itu daripada pengetahuan isteri pertama sehingga bimbang untuk mendaftar perkahwinan di negara ini.

"Ketika itu kami tidak rasa apa-apa walaupun tidak mendaftarkan perkahwinan di Malaysia dan menjalani kehidupan seperti biasa walaupun tidak sempurna seperti suami isteri lain. Malah isteri pertama juga tidak mengetahui perkahwinan kami.

"Namun pada 2018, isteri mengandung dan ketika itu ada kawan memaklumkan kepada saya proses sijil lahir anak akan menjadi masalah jika tidak daftar nikah di sini.

"Pada mulanya saya bimbang, namun masih membiarkan dengan alasan mempunyai dokumen nikah lengkap di Thailand. Sehingga anak lahir pada Oktober 2018 dan situasi itu benar-benar berlaku apabila anak perempuan saya tidak boleh berbintikan nama saya.

"Selepas mendapat nasihat daripada rakan terdekat dan pihak berwajib, saya tampil mendaftarkan perkahwinan. Alhamdulillah proses berjalan lancar memandangkan dokumen pernikahan saya di Thailand adalah lengkap," katanya.

Kemas kini maklumat di JPN

Beliau berkata, selepas selesai dan memperoleh sijil kelahiran, dia kembali ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengemas kini maklumat dan memasukkan namanya sebagai bapa.

Pada masa sama, beliau juga membuat pengakuan kepada isteri pertamanya bahawa dia sudah berkahwin di Thailand walaupun ketika pengesahan dibuat wanita itu tidak mengetahui mengenai perkahwinan poligami itu.

Katanya, anak perempuannya dengan isteri kedua kini berusia lapan tahun dan dia tidak mampu membayangkan sekiranya gagal mendaftar pernikahan menyebabkan anaknya terpaksa dibinkan kepada salah satu daripada 99 nama Allah.


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url