Bank-bank perkenalkan perubahan pembiayaan sewa beli

 


Bank-bank di Malaysia akan melaksanakan pindaan utama terhadap amalan pembiayaan sewa beli susulan pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

Sebagai sebahagian daripada peralihan kepada rangka kerja baharu, bank akan menawarkan diskaun ihsan (goodwill discount) kepada pelanggan yang layak dan memilih untuk menyelesaikan pembiayaan sewa beli kadar tetap sedia ada lebih awal menggunakan kaedah Peraturan 78.

Pindaan itu merupakan inisiatif yang diterajui industri dengan sokongan Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).

Dalam kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga persatuan itu berkata langkah berkenaan mencerminkan komitmen industri perbankan untuk menyokong pelanggan sepanjang tempoh peralihan serta memastikan ketelusan dalam pembiayaan sewa beli.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan bahawa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 dengan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027 bagi membolehkan bank melaksanakan sistem, proses serta penambahbaikan infrastruktur yang diperlukan.

"Dalam tempoh ini, bank mungkin terus menyediakan pembiayaan sewa beli baharu di bawah kaedah Peraturan 78, pada masa sama mengemas kini sistem dan proses mereka.

"Bagaimanapun, sesetengah bank juga akan bersedia menawarkan kaedah baki pengurangan sepanjang tempoh peralihan ini," menurut kenyataan itu.

Di bawah akta berkenaan, beberapa perubahan penting akan diperkenalkan terhadap pembiayaan sewa beli kadar tetap, termasuk pemansuhan kaedah pengiraan Peraturan 78 bagi penyelesaian awal yang digunakan dalam struktur kadar faedah tetap sedia ada.

Semua pembiayaan sewa beli akan beralih kepada kaedah baki pengurangan bersama penggunaan kadar faedah efektif, sekali gus membolehkan pelanggan memahami kos pembiayaan sebenar dengan lebih jelas.

Menurut kenyataan bersama itu, perubahan berkenaan bertujuan memperkasakan pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih termaklum selain memudahkan perbandingan produk pembiayaan sewa beli antara bank.

Persatuan berkenaan berkata setiap bank akan mengira diskaun berdasarkan ciri perjanjian sedia ada pelanggan, termasuk tempoh pembiayaan dan masa penyelesaian awal, dengan jumlah diskaun sebenar hanya ditentukan apabila pelanggan membuat permohonan penyelesaian awal.

Individu serta perusahaan mikro dan kecil yang mempunyai perjanjian sewa beli kadar tetap menggunakan kaedah Peraturan 78 layak menerima diskaun jika perjanjian dimeterai sebelum 1 Jun 2026, atau sepanjang tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027, atau sekiranya pelanggan memilih untuk menyelesaikan pembiayaan lebih awal sebelum tempoh matang.

Bagaimanapun, akaun pelanggan perlu memenuhi syarat tertentu yang ditetapkan.

Senarai bank yang bersedia menawarkan kaedah baki pengurangan sepanjang tempoh peralihan boleh diperoleh melalui laman web persatuan iaitu [www.abm.org.my](http://www.abm.org.my), [www.aibim.com](http://www.aibim.com) dan [www.adfim.com.my](http://www.adfim.com.my).

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url