'Keadaan pakaian Zara Qairina boleh beri petunjuk kejadian sebelum kematiannya' - Pakar Patologi Forensik
Seorang pakar patologi forensik memberitahu mahkamah, keadaan pakaian Allahyarham Zara Qairina Mahathir boleh memberikan petunjuk penting mengenai kejadian sebelum kematiannya.
Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, 74, berkata pemeriksaan terhadap pakaian itu amat penting dalam inkues kerana ciri-cirinya boleh mendedahkan butiran relevan kepada siasatan.
Beliau dalam keterangannya berkata, pakaian boleh menunjukkan bagaimana seseorang itu terjatuh, dengan menyatakan bahawa dalam kes sama, bahagian atas pakaian sering terselak ke atas apabila mangsa ditemui.
"Dalam kes ini, kita juga boleh melihat sama ada terdapat koyakan pada pakaian… walaupun jika berlaku sebarang pergelutan atau pertengkaran. Itu juga dapat ditunjukkan," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-64 inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Laporan sebelum ini menyebut pakaian dan barangan peribadi yang dipakai Zara Qairina ketika ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai 2025 pada awalnya dipulangkan kepada ibunya, Noraidah Lamat, oleh kakitangan hospital pada hari sama.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Barangan itu kemudian dirampas polis daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 5 Ogos 2025 selepas representasi undang-undang dibuat bahawa ia tidak disimpan dengan baik untuk tujuan siasatan forensik.
Ketika disoal peguam Datuk Ram Singh berhubung penemuan bahan fenitoin (phenytoin) dalam tubuh Zara Qairina, saksi ke-68 itu berkata, beliau tidak pasti bagaimana ubat itu dimasukkan ke dalam badan mangsa kerana tiada laporan berkaitan.
Dr Bhupinder berkata, fenitoin lazimnya digunakan untuk merawat epilepsi atau kecederaan otak traumatik yang serius.
"Adakah fenitoin dimasukkan ke dalam badannya ketika menjalani rawatan, adakah dia dirawat untuk epilepsi?
"Saya tidak tahu kerana tiada nota tersedia untuk menentukan apa yang diberikan kepadanya ketika rawatan.
"Namun, penemuan fenitoin tidak mengubah punca kematian. Dalam kes ini, ia hanya penemuan sampingan yang biasa ditemui dalam pemeriksaan bedah siasat," katanya.
Terdahulu, ketika membacakan kenyataan saksinya, Dr Bhupinder berkata, kecederaan yang menyebabkan Zara Qairina maut adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Sebelum ini, seorang pakar bedah saraf dan pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital sama memberi keterangan tiada ubat anti-epilepsi diberikan kepada Zara Qairina sepanjang tempoh syif mereka.
Ram yang mewakili seorang daripada pelajar yang didakwa dalam kes berkaitan Zara, memohon kepada koroner supaya pegawai penyelaras mendapatkan nota kemasukan dan rekod perubatan berkaitan penemuan fenitoin itu.
Prosiding inkues akan bersambung esok.

