Kenapa Malaysia perlu import minyak mentah walaupun ada pengeluaran minyak sendiri? Ini penjelasan MOF
Malaysia masih perlu mengimport minyak mentah walaupun memiliki pengeluaran minyak sendiri, kerana penggunaan di dalam negara adalah jauh lebih tinggi membabitkan kira-kira 700,000 tong sehari berbanding pengeluaran hanya 350,000 tong sehari.
Kementerian Kewangan (MOF) ketika menjelaskan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini, berkata dunia sedang berdepan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menurutnya, konflik itu telah mengganggu rantaian bekalan minyak dunia, termasuk dari segi pengangkutan dan penghantaran, serta laluan perkapalan utama di Selat Hormuz yang terjejas.
"Bekalan minyak mentah dan bahan api mengalami gangguan dan kelewatan.
"Harga minyak mentah meningkat hampir 40 peratus, termasuk kenaikan kos logistik dan insurans," katanya.
MOF memaklumkan sebanyak 52 peratus bekalan produk petroleum ditapis Malaysia adalah oleh syarikat minyak lain di Malaysia, manakala baki 48 peratus oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Sumber minyak mentah Malaysia terdiri daripada 48 peratus pengeluaran domestik; 38 peratus import melalui Selat Hormuz; tujuh peratus dari rantau Asia Tenggara, Afrika Barat dan lain-lain; serta tujuh peratus lagi dari Asia Barat dan lain-lain.
MOF berkata, sebahagian besar minyak mentah yang digunakan di kilang penapisan masih perlu diimport kerana pengeluaran domestik tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan negara.
"Hampir 40 peratus daripada import itu melalui Selat Hormuz - laluan utama yang kini terjejas," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia perlu bergantung pada import bagi memenuhi permintaan domestik untuk petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan bahan api pesawat.
Terdahulu, PETRONAS mengesahkan kapal Ocean Thunder telah tiba di Malaysia dengan membawa sejuta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq, dan merupakan antara usaha syarikat dalam memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil.

