USM dipilih Universiti Apex pertama

Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih sebagai Universiti Apex pertama, mengetepikan beberapa institusi pengajian tinggi lain termasuk universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM).

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) selepas mendapati USM memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkannya berkata, USM mengatasi universiti saingan lain berdasarkan tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah.

"Penilaian yang kita gunakan untuk memilih USM adalah berasaskan sudut kuantitatif dan kualitatif yang masing-masing bersandarkan kepada tahap kesediaan untuk melalui transformasi dan pencapaian akademik," katanya pada sidang media di kementeriannya, semalam. Hadir sama, kedua-dua Timbalannya, Datuk Idris Haron dan Datuk Dr Hou Kok Chung.

Selain USM dan UM, lima lagi institusi pengajian tinggi awam yang mengemukakan permohonan untuk menjadi Universiti Apex adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dua institusi pengajian tinggi swasta, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), turut mengemukakan permohonan. Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Mohamed Khaled berkata, sepanjang tempoh pemilihan sebagai Universiti Apex, USM perlu berada di antara 100 universiti terbaik dunia dan senarai 50 universiti terbaik dunia pada 2020.

"Kita perlu lihat dan menilai pencapaian USM dengan kertas cadangannya bertema 'Perubahan Pengajian Tinggi Untuk Kestabilan Hari Esok'. Dalam tempoh berkenaan dan selepas itu barulah keputusan akan dibuat sama ada perlu pemilihan Universiti Apex lain atau tidak," katanya.

Ditanya kenapa UM sebagai universiti tertua negara tidak terpilih, Mohamed Khaled berkata, pemilihan bukan berdasarkan usia tetapi keupayaan membawa perubahan dalam sistem pendidikan tinggi sehingga mencapai tahap dunia.

"Pemilihan USM tidak bermaksud universiti lain dipinggirkan, sebaliknya akan menjadi perangsang kepada universiti yang tidak terpilih untuk terus berusaha mencapai status yang lebih baik dan bertaraf dunia," katanya.

Mengenai aspek pembiayaan, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam setiap bajet tahunan yang akan diumumkan kerajaan dalam merangka pelan transformasi selama lima tahun.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah, dalam kenyataannya berkata pemilihan universiti itu sebagai Universiti Apex akan menjadi pendorong utama untuk memartabatkan pengajian tinggi ke peringkat dunia.

Beliau berkata, USM mahu melonjakkan usaha mentransformasikan pengajian tinggi bagi mewujudkan dunia yang sejahtera berteraskan pembangunan lestari.

"USM menjadi pusat kepakaran serantau bagi pendidikan lestari dengan adanya Pusat Latihan Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2005. Ini adalah pengiktirafan yang besar kepada USM dan ia kejayaan seluruh warga kampus, apalagi dalam sambutan 40 tahun universiti," katanya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url