FIFA tambah baik sistem VAR

 


Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan perubahan besar terhadap sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) hanya beberapa jam sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 antara England dan Argentina, susulan beberapa keputusan kontroversi sepanjang kejohanan.

Badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan rakaman komunikasi secara langsung antara pengadil dan pegawai VAR akan diperdengarkan kepada penonton di stadium serta siaran televisyen bagi insiden tertentu.

Langkah itu diambil bagi meningkatkan ketelusan proses membuat keputusan selepas beberapa insiden membabitkan VAR mengundang kritikan daripada pemain, jurulatih dan penyokong.

FIFA berharap pendekatan baharu itu dapat membantu orang ramai memahami alasan di sebalik setiap keputusan yang dibuat oleh pengadil selepas semakan VAR.

Perubahan berkenaan akan mula digunakan pada aksi separuh akhir yang menemukan juara bertahan Argentina dengan England di Atlanta.

Perlawanan itu dijangka mendapat perhatian tinggi memandangkan kedua dua pasukan memburu tiket ke final untuk bertemu Sepanyol yang lebih awal menewaskan Perancis 2 0.

Sepanjang Piala Dunia kali ini, beberapa keputusan VAR menjadi perdebatan apabila penyokong dan pemerhati mempersoalkan ketepatan serta ketelusan proses membuat keputusan.

FIFA sebelum ini menegaskan VAR kekal memainkan peranan penting dalam membantu pengadil membuat keputusan yang lebih tepat, namun mengakui usaha menambah baik sistem itu akan diteruskan.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url