Kelebihan amalan pada 10 Zulhijjah dan hari Arafah
Mereka bertanya: "Hai Rasulullah sekalipun jihad ke jalan Allah?" Lantas jawab Baginda: "Sekalipun jihad ke jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan diri dan hartanya untuk jihad tanpa pulang (iaitu mati syahid)."
Hadis ini dengan jelas menunjukkan kelebihan amalan pada hari-hari 10 awal Zulhijjah. Mengikut sebuah riwayat daripada Ibn Abbas terdapat tambahan dengan menyatakan: "Amalan pada hari-hari tersebut digandakan kepada 700 kali ganda." Bagaimanapun, pada sanadnya daif.
Mengikut riwayat Mujahid daripada Ibn Umar r.a. berkata: "Tiada satu hari yang lebih besar di sisi Allah daripada hari Jumaat dan tiada 10 hari yang lebih afdal daripada 10 awal Zulhijjah di mana amalan padanya seolah- olah beramal dengan setahun".
Mengikut riwayat Abu Amar al-Naisaburi dalam kitab al-Hikayat dengan sanadnya daripada Humaid katanya: "Aku mendengar Ibn Sirrin dan Qatadah berkata: "Puasa setiap hari daripada 10 Zulhijjah (kecuali hari 10 Zulhijjah kerana hari itu Hari Raya) adalah menyamai setahun."
Berdasarkan kepada hal ini menunjukkan terdapat kelebihan pada hari-hari 10 Zulhijjah. Ini kerana beberapa sebab:
1. Nas yang disebut oleh Baginda SAW.
2. Hari-hari tersebut ramainya manusia menuju ke Mekah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji.
3. Hari-hari tersebut mempunyai sejarah yang gemilang. Sama ada pensyariatan beberapa ibadat seperti haji dan korban.
Berdasarkan kepada kelebihan hari-hari seperti ini sewajarnya kita menggandakan amalan ibadat sama ada berqiammulail atau berpuasa pada hari Arafah kerana nas yang thabit menunjukkan kelebihan berpuasa pada hari Arafah seperti dalam hadis riwayat al- Hafiz Abi Musa al-Madini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada hari yang lebih afdal daripada hari Arafah."
Mengikut di dalam kitab Lataif al-Ma'rif oleh al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali antara amalan yang sunat dilakukan dan digalakkannya pada hari-hari begini ialah:
Pertama: Banyakkan berzikir sama ada tahlil, takbir dan tahmid. Seperti riwayat Ibn Umar secara marfu'.
Kedua: Melakukan ibadat puasa terutamanya pada hari Arafah kerana nilaian puasa pada hari tersebut seperti hadis riwayat Muslim daripada Abi Qatadah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari Arafah menghapuskan dosa setahun yang lalu dan yang akan datang."
Walaupun begitu dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: "Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji tidak sunat berpuasa pada hari tersebut, bahkan dia sunat berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut".
Justeru marilah sama-sama kita mengambil kelebihan ini dengan meningkatkan amalan soleh dan bermunajat serta berdoa kepada yang Maha Esa. Moga-moga dikurniakan segala hajat kita. Amin.