Top Ad 728x90

Trend kahwin lelaki berusia

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

Dua minggu lepas akhbar ini telah menyiarkan gambar perkahwinan 'anak bapak' di antara Mohamad Senuan Ahmad Hariri, 45, dan pasangannya Intan Nor Farliana Shamsudin, 19 yang disandingkan di atas satu pelamin bersama anaknya, Mohd. Nurfaizalizwan, 22, dan pasangan Siti Yusnita Ab. Manah, 23 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Gambar tersebut telah menghiasi muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia yang juga akhbar nombor satu negara.

Bagi Mohamad Senuan gambar tersebut dianggap sebagai hadiah paling bermakna bagi beliau dan pasangannya dalam meniti hari-hari bahagia sebagai pasangan suami isteri.

Malah beliau sempat berseloroh menyatakan kenapa gambar kahwinnya lebih besar daripada gambar artis berkahwin.

Lebih menarik lagi perkahwinan tersebut turut dihadiri bekas isteri Norliah Hussin, bekas tunang serta bekas teman wanitanya. Beliau turut mengharapkan agar perkahwinan ini akan menjadi contoh kepada pasangan lain.

Bagi kebanyakan kita kemeriahan sesebuah perkahwinan menggambarkan kesucian cinta yang disulami antara dua pasangan kekasih yang berakhir di jinjang pelamin.

Namun dalam membicarakan soal perkahwinan yang selalu menjadi tumpuan adalah perkahwinan antara pasangan si teruna dan dara yang masih muda dan belum pernah berumah tangga.

Oleh itu perkahwinan di antara Mohammad Senuan yang berusia hampir separuh abad dan pasangannya yang belum pun mencecah usia 20 tahun pastinya sesuatu yang menarik untuk dibicarakan.

Mungkin ramai lelaki di luar sana yang melihat gambar perkahwinan tersebut akan bertanya kepada diri sendiri apakah mereka mampu melakukan langkah yang sama seperti Mohammad Senuan yang berkahwin muda.

Apakah isteri atau bekas isteri mampu bersikap sporting seperti ditunjukkan oleh bekas isteri Ahmad Senuan?

Sesungguhnya kisah perkahwinan antara gadis muda dan lelaki berusia bukanlah sesuatu yang baru dan sebelum ini pun telah banyak berita tentang perkahwinan sebegini dikeluarkan.

Antara yang menjadi perhatian ialah bekas banduan paling lama dipenjara di negara ini Jamil Ahmad, 59, yang berkahwin dengan Siti Nasfuyah Ahmad Buang, 25, pada 24 Jun 2007.

Jamil kini bahagia bersama isteri dan dua orang anaknya dan salah seorang dari anaknya merupakan anak tiri. Mereka kini menetap di Kampung Belimbing, Kuala Nerang, Kedah.

Satu lagi kisah sebegini yang mungkin tidak dapat dilupakan ialah perkahwinan antara penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza dengan Datuk Seri Mohammad Khalid Jiwa (Datuk K). Dari majlis pertunangan hinggalah pada majlis pernikahan dan persandingan pasangan ini mendapat tumpuan dan perhatian ramai.

Majlis pertunangan dan akad nikah Siti Nurhaliza dan Datuk K diadakan serentak pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Majlis persandingan pula diadakan di Exhibition Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Ogos 2006 dan pasangan pengantin dibawa berarak selama sejam bermula pukul 5 petang di sekeliling kawasan KLCC.

Ini merupakan antara perkahwinan gadis muda dengan lelaki berusia yang mendapat perhatian ramai. Pastinya ramai lelaki di luar sana yang menganggap lelaki yang berkahwin muda ini bertuah dan mungkin ada yang telah merancang untuk melakukannya.

Dalam menyentuh perkara ini menuding jari antara lelaki dan perempuan bukanlah persoalannya tetapi kenapa perkara ini berlaku. Dari segi usia lelaki yang berumur antara 35 tahun ke atas kebanyakan mereka ini bolehlah dianggap sebagai lelaki yang berfikiran matang dari segi pemikiran dan perwatakan.

Mereka lebih jelas dan fokus dalam melaksanakan apa yang mereka mahukan dan mempunyai perancangan yang lebih tersusun dalam mengawal perwatakan dan menyelusuri kehidupan.

Kelebihan

Apatah lagi dengan kedudukan kerjaya dan kewangan mereka yang agak stabil pastinya kelebihan ini dilihat mampu memikat wanita muda untuk dijadikan pasangan hidup. Tidak dinafikan perasaan cinta merupakan antara faktor kenapa hubungan itu berlaku.

Akhirnya setelah menyedari mereka ini saling melengkapkan antara satu sama lain maka faktor usia bukan lagi menjadi penghalang untuk mereka ke jinjang pelamin.

Mungkin sebelum ini masyarakat bersikap agak skeptikal dalam perkara sebegini namun dengan peredaran zaman apatah lagi dengan meluasnya penggunaan teknologi canggih memungkinkan semua ini berlaku.

Namun perkara sebegini bukanlah satu keperluan sekarang walaupun kita dihimpit dengan kemajuan dan kepesatan pembangunan. Malah jika keadaan ini semakin tidak terkawal ia dibimbangi akan turut menggoncangkan institusi keluarga di negara ini. Ditakuti semakin banyak penceraian berlaku yang akan turut menjejaskan pemikiran dan perkembangan kanak-kanak serta pengabaian dalam soal kebajikan wanita.

Perkahwinan yang didasarkan dari perasaan cinta dan kasih sayang merupakan kunci kepada satu perkahwinan yang bahagia. Pengalaman pahit manis dan susah senang pasangan muda dalam melayari perkahwinan pastinya akan menjadi ingatan nostalgik apabila umur semakin meningkat naik yang turut mematang dan mengukuhkan ikatan perkahwinan.

Menurut seorang perunding psikologi, Khairul Anuar Masuan, perkahwinan sebegini sememangnya membabitkan soal jodoh dan ketentuan tuhan. Namun jika trend ini semakin meningkat ia akan memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan.

"Ini akan turut mengakibatkan kebajikan wanita dan anak-anak akan terabai jika berlaku penceraian. Apatah lagi dengan kemungkinan yang tinggi bahawa nyawa lelaki berusia sebegini lebih pendek dalam menjalani perkahwinan walaupun isteri mereka masih muda. Ini akan menjejaskan kebajikan dan masa depan wanita dan anak-anak mereka," kata Khairul Anuar.

Menurut beliau, trend sebegini bukanlah sesuatu yang baru namun dari segi jumlahnya ia semakin meningkat berikutan dari kematangan dan kedudukan ekonomi mereka yang semakin kukuh. Namun perkara ini juga perlu dipandang secara positif oleh golongan lelaki muda walaupun mereka dilihat sebagai lelaki yang belum matang dan masih mencari arah tuju hidup di samping masih belum stabil dari kedudukan kewangan.

Oleh itu lelaki muda perlu menerima perkara ini sebagai satu cabaran atau "wake up call" untuk mereka berubah dan bangun menjadi lelaki sebenar. Adalah malang kebanyakan mereka ini terlibat dalam kegiatan tidak berfaedah seperti mat rempit dan dadah.

Maka mereka perlu mempunyai inisiatif untuk berubah menjadi lelaki yang berfikiran matang serta mempunyai hala tuju yang jelas tentang bagaimana mereka merancang pendapatan untuk masa depan.

Sememangnya adalah menjadi tugas lelaki dalam menampung dan memenuhi kehendak serta keperluan isteri dan keluarga dan seharusnya sebagai lelaki mereka perlu memikul tanggung jawab tersebut walaupun pada usia muda.

Walaupun perkahwinan antara mereka yang berbeza usia kini meningkat dan tidak boleh dielakkan namun yang pasti peristiwa di mana perkahwinan Mohammad Senuan turut dihadiri dan direstui oleh bekas isteri, tunang dan kekasih merupakan antara segelintir kisah-kisah manis yang dilalui oleh seorang lelaki yang sangat bertuah.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90