Rusdiana Rusdi - Minah bola


Pun begitu, anak bongsu daripada empat beradik ini tidak pernah berputus asa.

Akui Diana, pada awal bapanya tidak begitu berkenan dia membabitkan diri dalam bidang seni, apatah lagi sebagai anak bongsu dalam keluarga, dia masih dimanjakan orang tua.

Namun sekembalinya kakak Diana, Mawar dari Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajian dalam bidang penyiaran dan bekerja dengan Wayang Tinggi, tanggapan bapanya terhadap dunia seni mula berubah.

Ketika itu, Mawar yang berjawatan penerbit eksekutif dan juga Ketua Bahagian Program Melayu, selalu mengundang Diana menjayakan daram diterbitkannya, tetapi hanya untuk watak tambahan.

Diana juga banyak menjayakan program dokumentari terbitan syarikat produksi berkenaan.

"Sejak itu tanggapan bapa terhadap dunia seni semakin berubah dan perlahan-lahan mula memahami minat saya serta merestui cita-cita saya menjadi pengacara dan pelakon kerana Mawar pun memilih bidang sama.

"Oleh itu, dia boleh mengawasi dan memberi panduan kepada saya.

"Sebenarnya, cinta pertama saya ialah bidang pengacaraan. Saya pernah mengacarakan rancangan kanak-kanak di ntv7. "Apabila peluang menjadi hos semakin kurang, baru saya beralih ke bidang lakonan. Alhamdulillah, walaupun berlakon minat kedua selepas mengacara, rezeki lebih ke arah itu.

"Bagaimanapun, saya benar-benar aktif berlakon selepas memperoleh diploma dalam jurusan pengiklanan dan pemasaran dari Kolej IACT, Damansara.

"Sejak itu juga, saya berani terima tawaran melakonkan watak berat.

"Pun begitu, saya perlu berusaha lebih gigih kerana kehadiran saya dalam persada seni belum begitu disedari," katanya.

Gadis yang dilahirkan di Belanda pada 26 Mei 1985 ini pernah berlakon dalam iklan komersial Petronas dan Parkson.

Meskipun Diana semakin suka berlakon, dia lebih selesa mengacara kerana masa kerjanya tidak panjang. Dek kerana kesibukannya di lokasi penggambaran drama, masanya untuk bersama keluarga semakin suntuk.

"Sejak banyak tawaran berlakon, saya jarang dapat berjumpa emak dan ayah meskipun kami tinggal serumah di Sunway Damansara.

"Ini kerana saya selalu balik lewat malam, mereka sudah tidur. Awal pagi dapat bercakap sepatah dua kata, saya hendak ke lokasi semula.

"Pernah juga emak dan ayah terasa hati dengan saya kerana tiada masa bersama mereka, tetapi hendak buat macam mana, kerja seni tidak menentu masanya.

"Sebenarnya saya bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam jurusan perhubungan awam. Saya ingin mengikut jejak emak yang pernah bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Saya selalu ikut emak ke majlis dikendalikannya. Sejak itu, saya suka dengan kerja perhubungan awam yang banyak berjumpa dan bergaul dengan orang ramai. Tetapi saya tidak tahu bila cita-cita itu akan terlaksana kerana apabila dah sibuk berlakon, susahlah sikit hendak membahagikan masa," katanya.

Kata Diana, kerana kesibukannya dan balik tidak tentu masa, dia pernah terfikir untuk pindah rumah dan tinggal bersendirian kerana tidak mahu mengganggu ibu dan ayahnya.

"Namun selagi belum berkahwin, mereka tidak mengizinkan saya tinggal berasingan kerana bimbangkan keselamatannya.

"Sekarang saya sedang mengenali hati budi seseorang, tetapi kami belum memikirkan untuk menuju ke gerbang perkahwinan. Dia bekerja di sebalik tabir dunia hiburan.

"Kami ingin berjaya dulu barulah memikirkan hala tuju hubungan kami. Insya-Allah, kalau ada jodoh kami akan berkahwin juga nanti," katanya.

Sebagai artis, Diana tidak terlepas daripada sasaran gosip, tetapi dia tidak terlalu memikirkannya.

Lagipun tiada apa yang patut dirisaukan kerana ibu bapanya lebih mengenali siapa dirinya daripada orang lain.

"Emak faham diri saya selalu menjadi perhatian masyarakat, tetapi beliau lebih kenal anaknya sendiri daripada orang lain. "Emak seorang yang berfikiran terbuka dan tidak cepat melenting. Emak selalu mengikuti perkembangan dunia artis dalam akhbar dan majalah, jadi dia faham rentak hidup anak seni," katanya.

Menyentuh harapan masa depannya, andai dia tidak diperlukan lagi dalam arena lakonan, dia ingin meneruskan minatnya mengacara dan impiannya untuk menghoskan rancangan sukan terutama bola sepak.

"Kalau boleh, saya ingin menjadi pengacara yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa seperti Maya Karin yang pernah menjadi hos Channel V.

"Jika diizinkan Allah s.w.t saya ingin muncul di ESPN menghoskan program sukan terutama bola sepak.

"Saya boleh lupa makan minum kalau dapat menonton perlawanan bola sepak. Saya sanggup keluar dengan kawan lelaki melepak di kedai mamak menonton bola sepak.

"Jangan tak percaya saya menangis kalau pasukan bola sepak kegemaran Manchester United dan Selangor kalah. Dek kerana terlalu minat bola sepak setiap bulan saya beli majalah sukan," katanya.

Menyentuh latar dirinya, Diana dilahirkan di Belanda kerana ketika itu bapanya berkhidmat sebagai diplomat di sana.

Bagaimanapun, Diana tidak sempat tinggal lama di sana kerana bapanya balik berkhidmat di tanah air.

"Abang dan kakak saya merasa lama tinggal di luar negara termasuk di Indonesia dan Eropah. Tetapi ketika saya berusia 12 tahun, kami sekeluarga bercuti di Belanda. Dapatlah saya tengok rumah lama kami di sana dan mengimbas semula kenangan ketika tinggal di sana.

"Belanda negara yang sangat cantik dan keindahannya semakin terasa apabila tiba musim bunga. Sayangnya tidak banyak yang saya ingat kerana ketika itu kecil lagi.

"Sekarang emak dan ayah dah pencen. Masa mereka banyak dihabiskan dengan menjaga cucu. Selain itu, ayah suka bermain golf dan apabila ayah bermain golf di luar negara, emak akan ikut sama berehat sambil membeli-belah," katanya.

PROFIL

NAMA: Rusdiana Rusdi

USIA: 24 tahun

TARIKH LAHIR: 26 Mei 1985

TEMPAT LAHIR: Belanda

KELUARGA: Anak bongsu daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Diploma Pengiklanan dan Pemasaran

KERJAYA: Pelakon dan pengacara

TINGGI: 156 cm

BERAT: 48 kilogram

DRAMA: Dilema Wanita, Cinta Medik, Kasih Suci, Hartamas

IKLAN: Petronas, Parkson

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url