Nikotin dalam vape beri kesan pada sel otak remaja
Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape sering dianggap sebagai alternatif kepada kaedah merokok tradisional, walau bagaimanapun ia menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada kesihatan terutama jika digunakan oleh golongan muda.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga yang juga Penyelaras Klinik Berhenti Merokok - Klinik Rawatan Keluarga, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nur Suhaila Idris, vape mengandungi nikotin sama seperti rokok yang sudah terbukti menyebabkan ketagihan serta penyempitan salur darah, pembekuan darah dan seterusnya berisiko mengakibatkan penyakit jantung dan strok.
Katanya, golongan remaja mudah terjebak dengan penggunaan vape disebabkan rasa ingin mencuba sehingga ketagih dan sukar untuk berhenti.
"Nikotin dalam vape memberi kesan neurotoksik pada sel otak remaja yang sedang berkembang kerana pada peringkat awal remaja, neurokognitif dan fungsi eksekutif otak belum matang sepenuhnya.
"Selain itu, pemanasan bahan kimia lain dalam cecair vape seperti 'propylene glycol' akan menghasilkan bahan yang membebaskan 'formaldehyde' yang boleh menyebabkan kanser," katanya.
Beliau berkata, penyakit baharu yang dikesan dalam kalangan pengguna vape ialah kerosakan paru-paru atau dikenali sebagai penyakit 'E-cigarette or Vaping Product Use -Associated Lung Injury' (EVALI) dengan simptom demam, batuk, sesak nafas dan lelah yang sukar didiagnosis.
"Ia mula dikesan di Amerika Syarikat pada tahun 2019 apabila sekumpulan pengguna vape mengalami kecederaan dan kerosakan paru-paru dan menyebabkan pergantungan kepada mesin pernafasan dengan 68 kematian dilaporkan sehingga kini," katanya.
Tambahnya, vape adalah produk merokok alaf baharu yang komponen utamanya terdiri daripada bateri, katrij cecair vape serta 'atomizer' untuk memanaskan cecair.
"Alat ini berfungsi dengan memanaskan cecair dikenali sebagai 'e-juice' atau 'e-liquid' yang kemudiannya menghasilkan wap atau aerosol yang disedut masuk ke dalam salur pernafasan dan paru-paru sebelum sebahagiannya dihembus keluar oleh pengguna.
"Cecair ini biasanya mengandungi nikotin, perisa (flavor) ditambah dengan bahan-bahan lain seperti 'propylene glycol' dan 'glycerin'," katanya.
Ketika ditanya adakah vape merupakan 'gateway' untuk remaja memulakan tabiat merokok, Dr Nur Suhaila berkata, tanggapan itu benar disebabkan bahan utama dalam cecair vape ialah nikotin yang menyebabkan ketagihan.
Katanya, ia terbukti daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) - Kajian Kesihatan Remaja tahun 2022 yang menunjukkan peningkatan mendadak prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja dan lebih membimbangkan lagi peningkatan yang ketara turut berlaku dalam remaja perempuan.
"Malah kajian juga membuktikan bahawa mereka yang menghisap vape boleh menjadi 'dual user'.
"Bagi mereka yang tidak pernah merokok, mereka hanya ingin mencuba dengan menghisap vape. Namun, nikotin dalam cecair 'vape' akan menyebabkan ketagihan dan lama kelamaan akan mendorong mereka menghisap rokok konvensional seterusnya menjadi 'dual user'. Ini termasuklah juga mereka yang cuba menjadikannya alternatif kepada rokok konvensional.
"Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan risiko ke atas kesihatan mereka selain turut membuka ruang kepada ketagihan dadah yang lain sebagaimana dilaporkan terutamanya melalui vape yang berkonsep sistem terbuka," katanya.
Katanya lagi, terdapat beberapa cara untuk berhenti menghisap vape atau rokok dan yang paling penting adalah tekad serta istiqomah untuk melakukannya.
"Mulakan dengan memberitahu keluarga atau rakan-rakan mengenai keinginan untuk berhenti menghisap vape atau rokok serta dapatkan sokongan mereka.
"Pada masa sama, kurangkan kekerapan menghisap vape dan buang peranti vape atau elakkan membeli stok vape yang baharu selain mendapatkan khidmat nasihat atau janji temu di Klinik Berhenti Merokok di fasiliti kerajaan atau swasta atau layari laman sesawang jomquit.com atau akses melalui MySejahtera," katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan rawatan di Klinik Berhenti Merokok – Klinik Rawatan Keluarga Hospital USM.
"Pelbagai kaedah rawatan disediakan seperti terapi farmakologi dan terapi kaunseling modifikasi tingkah laku berdasarkan kepada penilaian tahap kesediaan berhenti merokok, sejarah menghisap vape atau rokok dan tahap ketagihan," katanya.
Sumber : Berita Harian