Khasiat Kolam Air Panas Gadek


Selain berkelah di pantai, bermandi manda di kawasan yang mempunyai sumber air panas dari bawah tanah juga kini bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan masyarakat negara ini.

Sama seperti yang terdapat di beberapa negeri lain, Kolam Air Panas Gadek di Alor Gajah, Melaka juga menjadi pilihan utama keluarga atau pengunjung untuk meluangkan masa lapang atau sewaktu cuti hujung minggu.

Kewujudan kolam air itu dikatakan mula diketahui ramai apabila penduduk Kampung Gadek 'menyiasatnya' selepas mendapati ramai pegawai dan anggota tentera British tinggal di kawasan berhampiran kolam tersebut.

Keadaan ini membuatkan penduduk kampung tertanya-tanya akan keistimewaannya apatah lagi terdengar desas-desus bahawa ia dijadikan sebagai tempat tentera British merawat penyakit.

Selepas Tanah Melayu bebas dari penjajah, penduduk kampung mendapati kawasan tersebut mempunyai khazanah alam semula jadi iaitu sumber air panas yang asli dari dalam tanah.

Kolam Air Panas Gadek terletak 25 kilometer dari Bandaraya Melaka menerusi laluan ke Tampin, merupakan kebanggaan penduduk Alor Gajah.

Bukan sekadar itu, kolam air panas ini diyakini dapat memulih kesihatan pesakit seperti mengeringkan kesan luka dan bagi mereka yang lumpuh, air panas ini dapat membantu kelancaran aliran darah.

Dilengkapi dengan dua buah kolam utama dan lapan buah kolam mini, pengunjung hanya dikenakan bayaran RM4 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Jika dahulu kolam ini hanya beroperasi pada pukul 7 petang hingga 12 tengah malam, tetapi kini, waktu beroperasinya dilanjutkan 24 jam.

Sejak ia diswastakan pada 2002, pengurusan Kolam Air Panas Gadek diambil alih daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) oleh Arus Rahmat Sdn. Bhd.

Sejak 2008, kerja naik taraf kolam ini sudah dipertingkatkan.

Awal Februari ini pula, pengunjung bukan sahaja boleh menikmati dua kolam di kawasan asal kolam tersebut bahkan boleh mandi di dalam dua buah kolam air panas utama di kawasan berkenaan.

Pengurus Arus Rahmat Sdn. Bhd., Aznor Affendy berkata, pihaknya sudah membina satu lagi fasa kolam baru yang akan dibuka awal Febuari ini.

"Fasa kolam terbaru ini meliputi lapan kolam baru yang beratapkan daun nipah dan empat kolam mini bagi merendam kaki sahaja.

"Selain itu, kita turut mendirikan dua bangunan untuk kemudahan spa keluarga yang dilengkapi dengan bilik persalinan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya turut menyediakan sebuah kiosk dan restoran bagi membantu usahawan tempatan.

"Selain menerima pengunjung tempatan, kolam Air Panas Gadek juga terkenal di kalangan pelancong dari luar negara.

"Sambutan yang baik ini sekali gus dapat membantu usahawan tempatan dalam meningkatkan jualan produk mereka," katanya yang mengakui pelancong dari Singapura dan China antara yang sering mengunjungi pusat rekreasi ini.

Menurut Aznor, ketika ini pihaknya menerima kunjungan purata 2,000 hingga 3,000 pelawat sebulan.

"Pelancong tempatan lebih popular di kalangan pelajar khususnya pada waktu lewat malam, hinggakan ada yang terpaksa beratur untuk menggunakan kemudahan kolam air panas.

"Pembukaan fasa kolam baru ini diharap akan memberikan keselesaan kepada pengunjung," katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya juga bercadang membina chalet dengan kemudahan akses Internet jalur lebar tanpa wayar percuma.

Mengulas mengenai proses pembersihan air kolam tersebut, Aznor berkata, mereka mempunyai tiga pam untuk membersihkannya.

Katanya, pengunjung tidak perlu bimbang mengenai tahap kebersihan air di kolam kerana ia dijamin selamat dan bersih.

Sementara itu, seorang pengunjung, Aminah Manan, 58, berkata, dia kerap ke pusat rekreasi ini bagi menyembuh kesan lukanya akibat penyakit kencing manis.

"Saya percaya sumber asli ini memberi banyak manfaat kepada kesihatan dan tempat ini menjadi tempat kegemaran saya sekeluarga sejak dulu lagi.

"Selain itu, kemudahan yang disediakan pihak pengurusan di sini adalah lengkap dan yang penting kebersihannya sentiasa dijaga," katanya.

Bagi Zaleymah Mohd. Zahar, 35, berkata, dia menganggap Kolam Air Panas Gadek sebagai yang terbaik berbanding kolam-kolam lain.

"Tempatnya yang bersih dan selesa mendorong saya membawa keluarga ke sini.

"Selain daripada khasiatnya, kami sekeluarga seronok menghabiskan masa di sini kerana pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url