Memelihara aib orang

Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN
Fellow Kanan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sebagai orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan al-sunnah dalam menentukan tingkahlaku kita dalam menjalani kehidupan ini.

Andaikan kita ini pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu, kita dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah. Kita sepatutnya lebih bersyukur lagi kerana tidak semua pengembara dibekalkan dengan penunjuk arah.

Berbeza dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup. Jika ada sekalipun, panduan itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti Islam. Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan. Justeru, ramai yang berpegang kepada motto jenama Nike, "Just do it". Mereka pun buatlah apa sahaja yang terlintas di hati tanpa mengambil kira kesannya pada diri mahupun orang lain. Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada motto itu. Namun, ramai juga yang dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan itu.

Dalam kehidupan seorang Muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan tingkahlaku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang membezakan kita dengan mereka?

Walaupun seorang Muslim itu dibatasi oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang. Satu daripada perkara yang dilarang itu adalah membuka aib diri dan aib orang lain. Membuka aib diri sendiri mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Namun, apa yang sedang membarah dalam masyarakat kita kini adalah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.

Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Jadi, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri sendiri.

Namun, apabila tiba kepada keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali. Ramai yang suka mendengar atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan kisah-kisah itu kepada orang lain, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

Malangnya, ramai orang Islam lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan, menjadi pendengar atau pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu, mahupun menjadi penyampai atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut.

Malah, ada yang mengaut keuntungan daripada keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan. Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga menjadi umatnya?

Ada juga yang mendakwa bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan itu mungkin benar dan biasanya majoriti akan menang. Namun, tidak semestinya majoriti itu betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka?

Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam daripada menyatakan keaiban orang lain. Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari larangan itu, ia menjadi fasik, maka hendaklah bertaubat. Larangan ini begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya," ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…". Tidak cukupkah ayat-ayat ini memandu kita ke jalan yang benar?

Dalam pengenalan beliau mengenai surah al-Hujurat ini, Abdullah Yusuf Ali, dalam terjemahan al-Qurannya menyebut bahawa, surah ini menyentuh tentang adab yang perlu dipatuhi oleh ahli masyarakat Islam. Selain melarang mengaibkan orang, surah ini juga memerintahkan agar ketua dihormati, khabar angin diselidiki, damaikan dua pihak yang berkelahi, manusia lain jangan dicemuh atau diperlekeh, jangan melabel orang dengan perkataan yang buruk, jauhi prasangka, jangan mencari salah dan keaiban manusia, jangan mengumpat dan berkenalanlah sesama manusia.

Amat malang sekali apabila umat Islam yang telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat tidak mengambil manfaat daripada panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali bertentangan dengannya. Jadi, salah siapa kalau masyarakat kita banyak cacat-celanya? Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya berbanding dengan masyarakat Barat atau Timur yang tiada 'kompas' penunjuk jalannya?

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url