Pesara dari Kulai menang wang tunai RM1 juta Cabutan Jutawan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat

 


Seorang pesara dari Kulai, Mazlan Ibrahim, 61, memenangi wang tunai RM1 juta menerusi Cabutan Jutawan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, sekali gus menjadi jutawan keenam yang dilahirkan Bank Rakyat menerusi kempen itu.

Mazlan merupakan antara pemenang yang diraikan pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman itu turut meraikan pemenang Kempen Merdeka 2026 dan Kempen Simpanan Umrah.

Ahmad Shahril berkata, penganjuran kempen dan pemberian ganjaran merupakan antara usaha Bank Rakyat untuk menghargai kepercayaan dan sokongan pelanggan serta anggotanya sepanjang 72 tahun bank itu berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

"Sebagai sebuah bank koperasi dan juga Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), kami mahu pelanggan turut merasai manfaat daripada perkembangan dan pencapaian Bank Rakyat saban tahun.

"Bank Rakyat #UntukSemua melambangkan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan kewangan patuh Syariah yang inklusif dan mudah untuk diakses oleh masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang," katanya berucap pada majlis itu.

Bagi kategori lain, Nor Izayu Ibrahim, 36, dari Kepong, Kuala Lumpur memenangi RM10,000 menerusi Cabutan Pelabur Baharu, manakala Mohd Ridzuan Abd Rahim, 45, dari Kuala Nerang, Kedah memenangi RM5,000 menerusi Cabutan Pindah Gaji.

Sementara itu, antara pemenang Kempen Merdeka 2026 ialah Nur Aina Dalila Zahidi, 27, dari Setapak, Kuala Lumpur; Mohd Zulkhairi Esa, 42, dari Sarikei, Sarawak dan Mohd Tarmizi Juhari, 41, dari Kedah, masing-masing membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi.

Bagi Kempen Simpanan Umrah, Hadfi Farahan Mohamd Taib, 44, Nursyahira Amminuddin, 22, dan Nurul Shafiqah Izahar, 36, masing-masing memenangi baucar umrah bernilai RM8,000.

Akaun Pelaburan-i Rizq Plus diperkenalkan pada 2022 sebagai pilihan pelaburan patuh Syariah yang boleh dimulakan dengan serendah RM100.

Setakat ini, lebih 300,000 pelanggan telah memilih akaun itu dengan jumlah pelaburan melebihi RM1 bilion.

Kempen Rizq Plus 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10.8 juta menerusi 15 kategori cabutan, termasuk kategori untuk belia dan pelabur baharu.

Cabutan Jutawan Utama dijadualkan pada Januari 2027.


Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url