Top Ad 728x90

Akta Akuan Sumpah 1960 akan dipinda

Pesuruhjaya Sumpah (CO) akan dikehendaki menjadikan libel pada Akuan Bersumpah (SD) yang disediakan oleh deponen bagi memastikan mereka menyedari dan mengetahui kandungan akuan itu sebelum memperakui dokumen berkenaan.

Langkah itu bagi mengelakkan Akuan Bersumpah mudah diperoleh oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menipu seperti dalam urusan berkaitan tanah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V K Liew berkata Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang yang diketuai beliau kini mengkaji untuk meminda Akta Akuan Bersumpah 1960 bagi menjadikan ia mandatori kepada CO membaca kandungan akuan itu dan hanya memperakuinya setelah berpuas hati dengan kandungan yang tidak akan menimbulkan pertikaian atau tidak ada unsur-unsur pembohongan.

"Mengikut Akta Akuan Bersumpah sekarang, CO hanya diperlukan menandatangani untuk memperakui bahawa seseorang itu telah menandatangani dokumen berkenaan di hadapan beliau.

"Kini kita mahu pastikan CO membaca kandungan SD dan beliau berpuas hati bahawa kandungan SD tidak akan menimbulkan pertikaian dan tidak ada unsur-unsur pembohongan kepada orang lain," katanya kepada Bernama.

Liew berkata pindaan itu juga bagi mengelakkan SD disalahgunakan untuk tujuan memfitnah, penipuan dan pemalsuan.

Beliau berkata banyak kes di mana pihak tidak bertanggungjawab menggunakan SD untuk menipu pemilik tanah dengan tipu muslihat dalam urusan pemindahan hakmilik tanah.

"Mereka menggunakan SD untuk mengatakan bahawa seseorang pemilik tanah adalah pemilik sesuatu bidang tanah dan kemudian menggunakan kuasa wakil untuk mengatakan pemilik tanah telah memindahkan kuasa itu kepada orang berkenaan untuk melakukan urusan tanah. Kemudia mereka akan mengatakan seseorang itu telah diberi kuasa bagi menandatangani semua dokumen," katanya.

Liew, berkelulusan undang-undang, mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kes seperti itu di mana pihak yang tidak bertanggungjawab memalsukan tandatangan pemilik tanah dalam SD.

"Kita terpaksa mengetatkan undang-undang untuk melindungi pemilik tanah yang sah daripada kehilangan tanah dan kes terkenal dalam isu ini ialah Adorna Properties lawan Boonsom Bonyanit," kata beliau.

Kes ini melibatkan penjualan dua lot tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, milik seorang rakyat Thailand, Boonsom Boonyanit.

Seorang yang menyamar dan mendakwa bahawa Sun Yok Eng @ Boonsom Boonyanit telah memperakui satu SD pada 18 Jun, 1988 di mana geran asal tanah beliau telah hilang. Penyamar kemudian mendapatkan satu salinan geran itu daripada Pejabat Tanah yang telah diperakui.

Pada 6 April, 1989, penyamar memperakui SD kedua dengan menyatakan bahawa nama-nama Puan Boonsom Boonyanit dan Puan Sun Yok Eng @ Boonsom Boonyanit pada geran itu adalah orang yang sama, iaitu Puan Boonsom Boonyanit (penyamar) dengan nombor pasport Thailand yang berbeza.

Dengan akuan itu, penyamar berjaya mendaftarkan memorandum pendaftaran bagi Adorna Properties.

Kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Adorna Properties telah mendapatkan satu geran yang tidak boleh dipertikaikan tetapi bukan tujuan untuk pemalsuan kerana ia adalah pembeli bona fide.

Keputusan penghakiman itu yang banyak menerima kritikan bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada awal tahun ini, yang memberikan keputusan bahawa keputusan sebelum ini adalah "terang-terang salah".

- Bernama

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90