Top Ad 728x90

Bekalan gula ditambah 15 peratus lagi

Kerajaan akan menambah 15 peratus lagi bekalan gula kepada pemborong dan peruncit di seluruh negara mulai Khamis ini sehingga September, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penambahan stok bekalan itu bagi menghadapi permintaan yang tinggi dan menampung keperluan di musim perayaan.

"Kita anggar tambahan bekalan ini cukup untuk menampung keperluan khususnya menjelang bulan puasa ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada awal bulan ini, kementerian menambah bekalan gula sebanyak lima peratus bagi menampung keperluan semasa.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi, kerajaan melantik persatuan berkaitan untuk membekal dan mengagihkan bekalan gula kepada anggotanya.

"Misalnya kita benarkan Kesatuan Industri Kecil Sederhana (IKS) untuk mewujudkan syarikat pemborong gula, untuk diagihkan kepada ahlinya. Bagi kedai serbaguna 7Eleven pula, kita bekalkan secara terus kepada mereka," katanya.

Ismail Sabri juga meminta pihak yang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan gula di kawasan mereka supaya membuat laporan kepada kementerian itu supaya tindakan segera boleh diambil.

Beliau berkata, kementerian juga menyediakan Bilik Gerakan Isu Gula yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi.

"Jika ada masalah gula, laporkan kepada jabatan berdekatan supaya kita boleh ambil tindakan, bukannya berbincang sama sendiri atau pergi kepada media," katanya.

Menjawab persoalan mengenai subsidi barang keperluan, Ismail Sabri berkata subsidi kerajaan bagi barang keperluan seperti gula bagi tempoh Januari hingga bulan lalu adalah sebanyak RM408 juta.

"Bagi tepung gandum pula sebanyak RM39 juta dalam tempoh masa yang sama manakala subsidi untuk produk petroleum mencecah RM3.69 bilion bagi tempoh Januari hingga April 2010.

"Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin terhadap kesusahan yang bakal dihadapi rakyat sekiranya tiada bantuan subsidi diperuntukkan untuk barang-barang berkenaan," katanya.

- Bernama

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90