Catatan terburuk birokrasi Indonesia
Kaji selidik itu dibuat di kalangan ekspatriat dan ahli perniagaan oleh Political and Economic Risk Consultancy (PERC) meletakkan Pusat Kewangan Rantau Singapura dan Hong Kong sebagai paling efisien.
Kegagalan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono melaksanakan reformasi dan peletakan jawatan Sri Mulyani sebagai Menteri Kewangan dan berpindah tugas ke Bank Dunia meletakkan persepsi terhadap Indonesia semakin buruk, kata PERC.
"Mandat yang dimiliki Presiden Susilo daripada rakyat tidak memberi kekuatan untuk benar-benar mengubah sistem birokrasi Indonesia," ujar biro konsultan tersebut.
Kaji selidik itu meletakkan ranking 12 negara utama pada skala satu sampai 10, di mana 10 merupakan nilai terburuk.
Para eksekutif perniagaan menilai India sebagai negara dengan birokrasi paling teruk.
India memiliki nilai 9.41 diikuti Indonesia (8.59), Filipina (8.37), Vietnam (8.13), dan China (7.93).
Malaysia berada di tangga keenam dengan mata 6.97, diikuti Taiwan (6.60), Jepun (6.57), Korea Selatan (6.13), dan Thailand (5.53).
Singapura berada di tempat pertama dengan mata 2.53 dan Hong Kong (3.49).
Pendedahan hasil kaji selidik itu pasti memberi kesan terhadap persepsi para pelabur yang mahu berurusan ke Indonesia. Pada masa yang sama kerajaan Indonesia seharusnya melihat kembali birokrasi yang berbelit-belit di negara berkenaan dan sering menjadi keluhan ahli perniagaan.
Semasa menghadiri satu jamuan makan malam bersama-sama ahli perniagaan Malaysia, seorang ahli perniagaan berkongsi pengalaman.
Beliau memberitahu untuk mendapatkan kelulusan membawa masuk produk makanan ke Indonesia paling cepat mengambil masa enam bulan. Tempoh setahun pula kata beliau, adalah perkara biasa dan jika nasib tidak baik ia mungkin menjangkau dua tahun.
Namun oleh kerana potensi pasaran yang besar, destinasi ini terus menjadi magnet kepada ahli perniagaan dari serata dunia untuk mencuba nasib di Indonesia.
- MINGGUAN MALAYSIA