BIMB Mobile tawar pengalaman perbankan baharu yang mudah, pantas dan selamat

 


Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan platform perbankan digital baharu, BIMB Mobile dan BIMB Web sebagai langkah penting dalam memperkukuh pengalaman perbankan lebih empat juta pelanggan di seluruh negara.

Platform ini dijangka memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang melalui teknologi terkini, kelajuan pemprosesan yang pantas serta ciri keselamatan yang ditambah baik.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata, platform ini dirancang untuk menangani skala penggunaan yang lebih besar sambil menawarkan kestabilan dan kebolehgunaan yang lebih tinggi berbanding aplikasi terdahulu, GO by Bank Islam (GO).

"Maklum balas pelanggan mendorong kami untuk mereka bentuk platform baharu yang memenuhi keperluan digital masa kini, dengan ciri intuitif serta keselamatan dipertingkat," katanya ketika majlis pelancaran aplikasi berkenaan di ibu pejabat Bank Islam.

BIMB Mobile menawarkan pelbagai fungsi, termasuk pendaftaran perbankan mudah alih, pembukaan akaun, pengurusan kad, permohonan pembiayaan dan perkhidmatan pembayaran seperti DuitNow.

Aplikasi ini juga dilengkapi Mobile Security Wrapper iaitu teknologi yang melindungi pelanggan daripada ancaman siber seperti 'malware' dan scam.

Bank Islam turut memperkenalkan kemudahan Jom Cari Lailatul Qadar menerusi aplikasi BIMB Mobile bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah sedekah sepanjang bulan Ramadan.

Ciri inovatif ini membolehkan pengguna menjadualkan sumbangan secara automatik, sama ada untuk sepanjang Ramadan atau khusus pada 10 malam terakhir iaitu waktu yang dianggap paling mustajab untuk beramal.

Dengan adanya ciri ini, pengguna dapat memastikan mereka tidak terlepas peluang bersedekah, terutama pada malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Inisiatif ini sejajar dengan usaha Bank Islam dalam menggalakkan amalan kebajikan dengan cara yang lebih mudah dan sistematik.

Melalui BIMB Mobile, sumbangan boleh disalurkan kepada rakan amal Bank Islam secara konsisten, tanpa perlu melakukan transaksi secara manual setiap hari.

Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan urusan infaq, malah membantu pengguna menggandakan pahala dengan sedekah yang berjadual dan tanpa gangguan.

Bagi pelanggan yang ingin beralih ke platform ini, BIMB Web menawarkan kemudahan akses perbankan internet dengan navigasi lebih lancar.

Kedua-dua platform ini dijangka memberikan kelajuan transaksi lebih tinggi, terutama untuk pemindahan dana dan pembayaran QR serta fleksibiliti dalam memenuhi permintaan pasaran yang berubah-ubah.

Platform ini merupakan hasil usaha pembinaan semula sistem bermula 2023, selepas kajian menyeluruh mendapati pelbagai kelemahan dalam sistem lama.

Dibangunkan menggunakan teknologi moden dengan infrastruktur terkini, BIMB Mobile dan BIMB Web menjanjikan kestabilan serta prestasi yang boleh bertahan sehingga lima tahun akan datang.

Pelancaran ini juga menandakan usaha penting untuk memperkasakan sistem perbankan syariah, termasuk mengekalkan pematuhan kepada prinsip Islam seperti akaun Al-Awfar yang menawarkan hadiah cabutan bertuah tanpa menjejaskan modal pelanggan.

Mohamed Iran berkata, aplikasi GO by Bank Islam dijangka akan dimansuhkan sepenuhnya menjelang November 2025.

"Bank Islam menyasarkan 80 peratus pelanggan untuk beralih kepada BIMB Mobile dalam tempoh 4-6 bulan pertama.

"Kami akan memastikan pelanggan mempunyai pengalaman perbankan yang lancar sepanjang proses peralihan ini," katanya.

Sejak aplikasi ini diperkenalkan pada 21 November 2024, lebih 1 juta pelanggan Bank Islam berhijrah daripada aplikasi GO by Bank Islam ke BIMB Mobile.


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url