Top Ad 728x90

Facebook hampiri angka 500 juta pengguna

Oleh Johardy Ibrahim

FACEBOOK kini dianggarkan sudah memiliki 500 juta orang pemegang akaun. facebook belum membuat pengumuman rasmi tetapi berdasarkan rekod, angka 300 juta diraihnya pada September 2009, 350 juta pada Disember 2009 dan 400 juta pada Februari lalu. Bermakna setiap tiga bulan ia meraih 100 juta pemegang akaun baru. Maka boleh dianggar sejak Februari hingga April, ia sudah melebihi 500 juta.

Seandainya facebook adalah sebuah negara, ia senang-senang menduduki tempat ketiga negara terbesar di dunia di belakang India dan China! Bezanya facebook sebagai sebuah negara, tidak memerlukan sistem politik atau pertahanan ketenteraan. Satu-satunya isu berlarutan yang menjadi keluh-kesah ‘penghuni’ facebook ialah perihal privasi atau kebersendirian.

Pasti ramai yang memiliki akaun facebook sudah melalui proses pengenalan dan pemahaman mengenai fungsi-fungsi yang ada padanya. Ini terutama berkaitan perkara yang boleh diposkan dalam pernyataan atau komen ke atas pernyataan rakan-rakan. Pasti ada yang belajar di peringkat ini bahawa tidak semua menganggap apa yang anda fikirkan (What‘s On Your Mind) sesuai untuk semua orang, meskipun mereka bergelar ‘rakan-rakan’.

Sesekali anda akan terjumpa ayat yang diposkan dalam paparan facebook ini tertera perkataan ‘aku marah sangat’, ‘lapar!’, ‘geramnya!’. Ringkas tapi sarat dengan ekspresi yang menyeru kita untuk memberi pandangan simpati. Daripada sudut psikologi, penulis sedemikian memang berdepan dengan masalah mental. Persoalannya, apakah kita iaitu ‘rakan-rakan’ facebook berkelayakan untuk menjadi perunding psikologi? Apa jadi kalau dalam cubaan menenangkan itu, ia bertukar menjadi kalut dan penulis mental itu berkesudahan mencabut nyawanya sendiri? Bunyinya agak ekstrem tetapi macam-macam kes sudah dilaporkan berkaitan facebook.

Ini sama dengan mereka yang menyatakan dalam ruangan Status Hubungan peribadinya dengan pernyataan ‘Ia adalah rumit’ (It‘s Complicated). Apa yang rumitnya? Kalau dah kahwin, mengaku sajalah. Kalau tidak mahu, tidak perlu nyatakan apa-apa. Bila dinyatakan ‘rumit’, siapa yang merumitkan hubungan? Berhentilah bermain facebook dan sila baik pulih kerumitan hubungan anda!

Sejak ‘terserempak’ dengan gerombolan rakan sekelas 1989, akaun saya tumbuh mendadak. Hasrat untuk mengurangkan bilangan rakan ke paras bawah 300 gagal sama sekali. Masalahnya, terdapat fungsi tidak menarik dalam facebook ini iaitu ciri ‘Orang Yang Anda Mungkin Tahu’ (People You May Know) iaitu menawarkan kawan kepada kawan anda supaya menjadi kawan pula. Ada sesetengah kawan yang dicadangkan itu tidak semestinya anda kenal atau suka pun masa sekolah dulu. Bila dimasukkan sebagai kawan, dia akan kata ‘hello, apa khabar?”. Dan kemudian kembali menyepi sama seperti 21 tahun sebelum ini.

Luahan

facebook juga semakin kerap menjadi medan luahan politik. Ini mungkin ekoran ledakan kesedaran di kalangan ahli politik mengenai perlunya ada akaun facebook. Secara umumnya diperhatikan, ahli politik yang sudah bertapak lama, tidak banyak mengutus kenyataan. Sesekali mereka memberi komen mengenai isu yang diminati. Yang kerap berbuat demikian ialah pemimpin di peringkat akar umbi. Kadang-kadang boleh tahan tetapi bila sudah emosi, pernyataan yang diturunkan amat menyedihkan. Malah menjengkelkan.

facebook juga menjadi medan menyaksikan kesedaran politik mendadak di kalangan rakan-rakan sama ada media atau sektor lain. Ini jelas dalam minggu ini berikutan kes flotila pembebasan Gaza. Ramai yang mengutus pernyataan sokongan terhadap aktivis dan mengecam Zionis. .

Entah macam mana facebook boleh disifatkan sebagai platform terbaik untuk menayangkan apa sahaja gambar peribadi daripada wajah diri sendiri sebelum atau selepas dibedak, hinggalah kepada wajah anak-anak. Ada juga yang menjadikan gambar anak sebagai gambar dinding. Mereka lupa ia boleh mengelirukan rakan-rakan sebenarnya.

facebook juga menjadi pentas untuk orang menunjuk-nunjuk destinasi yang dilawatinya. Sebenarnya tidak salah. Gambar itu dituju kepada ‘rakan-rakan’ sahaja, jadi ia bukan menunjuk-nunjuk sengaja. Mungkin ada yang akan kagum dengan destinasi luar negara itu, walaupun setakat Hadyai di selatan Thailand. Tetapi ia sedikit tidak adil kepada rakan-rakan yang hanya mampu bercuti ke pantai Bagan Lalang yang mula segan hendak menyiarkannya dalam facebook.

Tulisan Dan Fletcher dalam majalah TIME menyatakan facebook memiliki lebih banyak kelebihan berbanding ciptaan dalam Internet hari ini seperti Microsoft, Google atau YouTube. facebook memiliki ‘pelaburan emosi para penggunanya’.

facebook menyebabkan kita tersenyum, terkesima, kecewa bila tiada sesiapa memberi reaksi kepada apa yang diposkan, ketawa terhadap rakan sekolah dulu yang kini sudah botak dan gemuk.

facebook kata Fletcher, juga kaya dengan peluang-peluang sentuhan peribadi seperti meraikan langkah pertama anak buah dan menyatakan kesedihan terhadap kematian rakan karib. Namun syarikat facebook, mencipta wang kerana anda, pada satu tahap, menyiarkan detik-detik peribadi itu dalam talian. ‘‘Perasaan yang anda alami di facebook adalah menyentuh perasaan, data yang anda sediakan menyentuh keuntungan syarikat,” katanya.

Terserah kepada diri anda sendiri bagaimana hendak menjadikan facebook ini sebagai wadah yang memberi kelebihan kepada diri atau sebaliknya. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mengutus pernyataan berbaur negatif terutama yang bernada menghentam atau mengkritik orang atau apa benda secara keterlaluan. Bila sudah mencecah tahap keterlaluan, anda mungkin mendapati diri anda dihadapkan ke mahkamah dan seterusnya menjadi bahan perbincangan pula dalam facebook.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90