Top Ad 728x90

Istiadat mengarak panji-panji sempena Hari Keputeraan meriah


KUALA LUMPUR 5 Jun - Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang merupakan satu tradisi ketenteraan zaman silam berlangsung dengan meriah di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Istiadat bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu merupakan sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada baginda selaku pemerintah tertinggi benteng pertahanan negara.

Sebanyak lima panji yang dianugerahkan Seri Paduka kepada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarak dalam istiadat berkenaan.

Setiap panji berkenaan berwarna kuning dan mempunya Jata Malaysia di tengah-tengahnya dengan dikelilingi oleh dua karangan padi.

Lambang di penjuru kiri sebelah atas panji menunjukkan Perkhidmatan manakala Rakaman Penghormatan Tempur disulam di kiri dan kanan Lambang Diraja.

Istiadat yang berlangsung pagi ini bermula dengan keberangkatan tiba Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi disambut dengan lagu kebangsaan, Negaraku dan 21 das tembakan meriam.

Turut menyambut ketibaan pasangan diraja itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Seri Paduka kemudiannya menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Di ruang angkasa pula, lima helikopter milik ATM yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), TLDM dan TUDM terbang rendah untuk upacara lintas hormat.

Ia diikuti pemeriksaan perbarisan 23 pegawai dan 505 anggota lain-lain pangkat (LLP) oleh Tuanku Mizan. Baginda diiringi oleh Azizan dan Ketua Perbarisan yang juga Pegawai Memerintah Batalion ke-23 RAMD, Leftenan Kolonel Habibullah Ismail.

Sejurus pemeriksaan disempurnakan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM diketuai Leftenan Mohd. Shaharuddin Shaari masuk membuka medan dengan alunan lagu Medan Seri dan Tentera Benteng Pertahanan Negara.

Tidak berapa lama selepas itu pengiring panji-panji mengambil Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong dan mengaraknya di hadapan pengawal diikuti perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat.

Seterusnya, anggota perbarisan mara menghadap dan melaungkan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali menandakan penghujung istiadat mengarak panji-panji itu.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa sebelum anggota perbarisan mempersembahkan Hormat Diraja kepada Tuanku Mizan dan kelima-lima helikopter ATM sekali lagi melakukan Terbang Lintas Hormat.

Turut hadir ke istiadat itu ialah menteri-menteri Kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, diplomat asing, atase pertahanan beberapa suruhanjaya tinggi serta kedutaan di negara ini dan rakyat jelata.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90